Najib lapor polis, dakwa penalti cukai terhadapnya berunsur politik

Najib - Foto fail Bernama
Najib - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa mempunyai bukti salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap dirinya.

Beliau mendakwa, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan supaya penalti cukai diteruskan terhadapnya atas arahan ahli politik tertentu.

“Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu saya bahawa kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya telah disiasat tiga kali sejak 2018.

“Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan.

“Namun, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis

Dalam pada itu, beliau juga turut diarahkan untuk membayar denda cukai tambahan membabitkan wang berjumlah RM2.6 bilion yang dikembalikan kepada penghantar, empat bulan selepas diterima.

“Wang yang dipindah dari akaun bank atas nama saya ke satu lagi akaun atas namanya juga dikira sebagai pendapatan.

“Tidak cukup dengan itu, arahan juga diterima oleh mereka untuk tidak membenarkan kes saya dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) untuk mempertikaikan keabsahaan pengiraan LHDN untuk rayuan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Najib berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh beliau terhadap pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan ahli politik yang didakwa melakukan kesalahan membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

Ujarnya, mereka dengan jelas melanggar Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sudah tentu ini menggusarkan kerana arahan tindakan itu lanjutan daripada arahan ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan serta asas undang-undang.

“Malah ini membuang masa banyak pihak terutama diri saya sendiri dan jelas menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.