[VIDEO] Muhyiddin bebas 4 kes salah guna kuasa libat suapan RM232.5 juta
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.
Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan serta-merta.
Ia selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa, keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan yang dilakukan.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, empat pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh ini yang menyatakan suapan bagi sekutunya Bersatu, tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).