X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Covid-19 kekal di bawah 2,000 dengan 1,529 kes

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumah kes baharu harian Covid-19 di negara ini terus merekodkan penurunan di bawah 2,000 untuk tiga hari berturut-turut dengan 1,529 kes dilaporkan pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 726 kes diikuti Sarawak (252); Johor (120); Negeri Sembilan (89); Pulau Pinang (76) manakala Sabah dan Kuala Lumpur masing-masing 71 kes.

Menerusi ciapan di Twitternya mengenai perkembangan penularan Covid-19 hari ini, beliau berkata, Perak merekodkan 49 kes; Kelantan (28); Perlis (17); Terengganu (13); Kedah (sembilan); Melaka (empat); Pahang (tiga); Putrajaya (satu) dan Labuan pula tiada kes.

Sementara itu menerusi kenyataan media, Dr Noor Hisham menjelaskan daripada jumlah kes baharu harian Covid-19, terdapat sembilan kes import melibatkan tiga warganegara dan enam bukan warganegara manakala kes tempatan pula adalah 1,520 melibatkan 1,177 warganegara serta 343 bukan warganegara.

"Kes sembuh harian pula melebihi kes baharu harian iaitu sebanyak 2,076, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 294,034.

“Perkembangan baharu itu menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan dalam negara setakat ini adalah sebanyak 19,778 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lapan kes kematian dilaporkan pada Isnin melibatkan tujuh warga tempatan serta seorang bukan warganegara dan kesemua mereka adalah lelaki dalam lingkungan umur 61 hingga 89 tahun termasuk tujuh menghidap penyakit kronik.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat empat kluster baharu dikesan pada Isnin melibatkan tiga kluster di tempat kerja dan satu kluster penularan komuniti.

Katanya, kluster di tempat kerja membabitkan dua di Johor iaitu Kluster Cyber 72 dan Kluster Jalan i-Park Tiga dan satu lagi di Kuala Lumpur iaitu kluster Jalan Loke Yew, manakala kluster dalam komuniti pula adalah Kluster Bukit Bayas di Terengganu.

Beliau berkata pengesanan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini kini 1,203 kluster dengan 467 kluster masih aktif manakala sembilan lagi kluster diisytiharkan tamat pada Isnin sekali gus menjadikan jumlah kluster tamat sebanyak 736. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!