'Kali ini terus masuk gear tiga' - MB Terengganu

Ahmad Samsuri (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Ahmad Samsuri (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Jika penggal pertama lalu saya membawa kenderaan pada 'gear satu', kali ini terus masuk gear tiga," kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, pihaknya akan lebih agresif dan bergerak laju berbanding penggal lepas dalam usaha merangka pelan secara komprehensif di negeri ini.

"Jika penggal pertama lalu saya membawa kenderaan dalam gear satu, pada kali ini saya tak masuk gear kedua tetapi terus ke gear tiga.

"Masa untuk lebih pantas terutama jalankan aktiviti terhadap rakyat dan pemerkasaan negeri itu sendiri. Jadi hala tuju mana dan sebagainya, saya akan cari ruang yang sesuai.

"Ini kerana saya perlu bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan supaya mereka nampak dengan jelas ke arah mana hala tuju kita pada sesi ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ahmad Samsuri mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini.

Buat pertama kali dalam sejarah politik baharu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas PN berjaya menyapu bersih 32 kerusi pada PRN yang berlangsung pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga perlu menyediakan diri dengan suasana yang lebih mencabar dalam situasi ekonomi pada masa ini.

"Namun kita tak lari daripada apa yang kita rancangkan dalam pelan Induk Terengganu Sejahtera selain bajet yang masih tinggal untuk tempoh empat bulan lagi.

"Kita mengarahkan serta bersetuju untuk memastikan Exco yang memegang portfolio masing-masing untuk merangka gerak kerja yang berkesan pada tempoh empat bulan ini.

"Kami akan adakan 'retreat' untuk memastikan mempunyai hala tuju jelas sehingga akhir tahun ini sebelum kita laksanakan bajet baharu pada tahun hadapan," jelasnya.