16,300 penduduk jalani PKPB di Tongkang Pecah

Seramai 16,300 penduduk di kawasan Tongkang Pecah, Batu Pahat terlibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa esok sehingga 13 Disember ini. Gambar hiasan
Seramai 16,300 penduduk di kawasan Tongkang Pecah, Batu Pahat terlibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa esok sehingga 13 Disember ini. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 16,300 penduduk di kawasan Tongkang Pecah, Batu Pahat terlibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa esok sehingga 13 Disember ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan memberitahu, kawasan yang terlibat ialah Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga 10, Batu 7 dan Kampung Mohd Nor.

"Pelaksanaan PKPB bertujuan membolehkan jabatan kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar selain mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini Kementerian Kesihatan melaksanakan 672 ujian saringan dan 56 kes positif koronavirus (Covid-19) direkodkan di kawasan itu.

Beliau memberitahu, kementerian masih menunggu keputusan 302 sampel saringan lagi dan atas nasihat dan penilaian risiko yang dilakukan, PKPB dilaksanakan di Tongkang Pecah selama 14 hari.

Vidyananthan berkata, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang telah diaktifkan semula sebagai Hospital Covid-19 di negeri ini secara rasmi bermula 25 November lalu.

Jelas beliau, hospital berkenaan dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 sahaja kecuali kes-kes kecemasan.

"Beberapa perubahan skop perkhidmatan dan fungsi dikenal pasti sementara perkhidmatan yang dikekalkan iaitu haemodialisis bagi pesakit sedia ada sahaja dan radiologi untuk pemeriksaan ultra sound atau CT Scan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi perubatan kecemasan, pesakit yang hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma akan dinilai dan distabilkan terlebih dahulu sebelum dirujuk dan dihantar ke hospital rujukan," katanya.

Kes bukan kecemasan katanya, dinasihatkan untuk dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

Menurutnya, bagi perkhidmatan pesakit luar dan klinik pakar beroperasi di lokasi sedia ada dan rawatan harian untuk Thalassaemia pula dipindahkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

"Pembedahan elektif dan prosedur rawatan harian serta perkhidmatan klinik selepas waktu pejabat ditangguhkan manakala semua kemasukan pesakit baharu bukan Covid-19 dihentikan kecuali kes bersalin kecemasan," katanya.