Gaji minimum RM1,500 majikan kurang lima pekerja kuat kuasa esok

SHAH ALAM - Pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 melibatkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja akan berkuat kuasa bermula esok iaitu 1 Julai 2023.
Penguatkuasaan di bawah Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 itu melibatkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.
Berdasarkan keputusan yang diumumkan kerajaan sebelum ini, penguatkuasaan tersebut telah ditangguhkan selama enam bulan berbanding tarikh awal yang ditetapkan iaitu 1 Januari 2023.
Pelaksanaan gaji minimum baharu itu telah diluluskan kerajaan pada 19 Mac 2022 dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April 2022.