Peniaga dalam talian terlepas hukuman gantung

Tertuduh terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menggugur dan meminda tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan methamphetamine terhadapnya, tahun lalu.
Tertuduh terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menggugur dan meminda tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan methamphetamine terhadapnya, tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang peniaga dalam talian terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggugur dan meminda tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan methamphetamine terhadapnya, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menggugurkan tuduhan terhadap tertuduh, Khairulanam Ramli, 33, setelah pihak pendakwaan menerima permohonan representasi yang difailkan tertuduh menerusi peguamnya, Masliela Ismail daripada Ghazali Ismail & Co bagi menggugurkan tuduhan berkenaan.

Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman 11 tahun penjara dan 13 sebatan terhadap tertuduh selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan yang dipinda ke atasnya daripada mengedar kepada memiliki barang terlarang berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki 18.7 gram heroin yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman 11 tahun penjara dan 10 sebatan.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh dijatuhi tiga tahun penjara dan tiga sebatan kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 25.63 gram iaitu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh dijatuhi hukuman dua tahun penjara kerana memiliki racun psikoptropik iaitu jenis etizolam seberat 0.17 gram yang membawa hukuman di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Jaafar, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus pada 11 September 2019.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah mengarahkan ketiga-tiga hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 11 September 2019.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengedar dadah tersebut mengikut Seksyen 39B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah.