[VIDEO] Bekas penyampai radio Ismahalil bebas, terlepas hukuman mati

A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membebaskannya daripada satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Ismahalil, 50, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, pihak pembelaan bagi pihak Ismahalil telah menunjukkan bahawa bilik yang menempatkan dadah itu, boleh diakses pihak lain.

Ismahalil (dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskannya pada Isnin daripada tuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.
Ismahalil (dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskannya pada Isnin daripada tuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.

Menurutnya, tertuduh mendakwa, bilik dalam rumah yang disewa di Jalan Semarak itu turut dimasuki kru stesen radio ‘Bapakku FM’, DJ yang bertugas di konti dan tetamu.

Keterangan tertuduh katanya, turut disokong oleh keempat-keempat saksi pembelaan antaranya isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abdul Manaf, 50.

“Tidak dipertikaikan tertuduh berada dalam bilik berkenaan semasa dadah dijumpai, tetapi saya menerima keterangan tertuduh, bahawa ruang itu boleh diakses oleh individu lain.

“Jadi, bukan dia seorang sahaja yang mempunyai jagaan atau kawalan terhadap bahan larangan tersebut,” kata Muhammad Jamil.

Selain itu beliau berkata, pihak polis juga mengesahkan, tiada barangan peribadi tertuduh ditemui dalam beg berkenaan.

Katanya, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa dadah yang disimpan dalam beg, berada dalam kawalan serta milikan tertuduh, maka mahkamah memutuskan supaya dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah.

Sejurus keputusan diketahui, Ismahalil yang memakai baju T dan berkupiah putih, terpelosok ke bawah kerusi di kandang tertuduh sambil melaungkan `Allahu Akbar'.

Pengasas stesen radio ‘Bapakku FM’ itu turut menangis terharu dan membuat sujud syukur dengan diperhatikan ahli keluarga serta rakan-rakannya yang berada di galeri awam.

Mereka berdiri dan cuba menghampiri Ismahalil, sebelum diminta bertenang oleh pihak berkuasa di mahkamah.

Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram, di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Februari lalu, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya, selepas mahkamah memerintahkan dia membela diri atas tuduhan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:

DJ Ismahalil menangis diperintah bela diri edar dadah

Ismahalil mengaku tidak salah edar dadah

Keputusan kes dadah Isma Halil diketahui 27 Februari

Bicara kes dadah Ismahalil bermula 19 Oktober

Kes dadah Isma Halil pindah ke Mahkamah Tinggi