Suami isteri menangis syukur terlepas hukuman gantung

Muhammad Yasmi dan isteri, Rossuhili I dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.
Muhammad Yasmi dan isteri, Rossuhili I dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Sepasang suami isteri berpelukan dan menitiskan air mata kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi Ipoh melepas dan membebaskan daripada tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed terhadap Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya, Rossuhili Ikhsan, 47, pada akhir kes pendakwaan.

Abdul Wahab ketika membaca kesimpulan kehakiman selama kira-kira 40 minit berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang ditimbulkan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa mengedar dadah berbahaya dengan berat 19.90 gram iaitu 10.9 gram heroin dan 9.0 gram monoacetyimorphines.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Melati Kampung Sri Klebang, Chemor dalam daerah Kinta sekitar jam 7 malam pada 27 September 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said manakala pasangan suami isteri itu diwakili Peguam Mohamad Hafiz Jalaludin.

Seramai enam saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada Oktober 2022.

Mengikut fakta kes, serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ipoh itu telah menemui sebungkus plastik berwarna hitam di atas lantai rumah.

Turut dirampas alat penimbang digital, satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi plastik-plastik lut sinar kosong, tiga anak kunci, bil elektrik dan baju milik kedua-dua tertuduh.