IPOH - Seorang lelaki ditemui lemas dalam sebuah lombong di Taman Desa Pengkalan, Pasir Puteh, hari ini selepas hampir 30 jam gagal dihubungi ahli keluarga.

Mangsa berusia 52 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung pada jarak enam meter dari tebing lombong pada jam 1.22 petang, setelah operasi mencari dan menyelamat digerakkan sejak jam 6.39 petang, semalam.

Mangsa sebelum itu dikatakan keluar rumah pada jam 7.20 pagi dan dalam tempoh itu, mangsa dihubungi melalui panggilan telefon beberapa kali oleh ahli keluarga, namun tidak berangkat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat isterinya, sekitar jam 7.05 malam semalam setelah ada individu menemui kad pengenalan dan kereta mangsa ditinggalkan di kawasan taman perumahan terbabit.

“Isteri mangsa membuat panggilan telefon sebanyak lima kali, namun semuanya tidak berangkat.

“Pada mula isterinya menyangka mangsa mendapatkan rawatan di hospital, sehinggalah seorang lelaki datang ke rumah  sekitar jam 5 petang menyerahkan barang peribadi milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas lelaki terbabit mendapati, mangsa dilihat cuba berenang dalam kawasan lombong itu sekitar jam 7.40 pagi, meskipun dihalang, teguran lelaki itu tidak diendahkan mangsa.

“Hanya pada sebelah petang, lelaki terbabit menyedari kereta mangsa masih berada di kawasan sama dan berdasarkan alamat pada kad pengenalan, lelaki itu menjejaki keluarga mangsa untuk memaklumkan keadaan,” katanya.

Mohd Ali berkata, satu operasi mencari dan menyelamat kemudiannya digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh di lombong terbabit.

“Mayat mangsa bagaimanapun ditemui pada jam 1.20 petang tadi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :