Keputusan permohonan pengarah dan penerbit Mentega Terbang, 14 Jun

Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Jumaat, menetapkan keputusan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, berhubung tuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada 14 Jun depan. Gambar hiasan
Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Jumaat, menetapkan keputusan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, berhubung tuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada 14 Jun depan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, menetapkan keputusan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, berhubung tuduhan melukakan perasaan agama orang lain, pada 14 Jun depan.

Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob selaku responden sementara pemohon, peguam, N Surendran yang mewakili pengarah filem kontroversi, Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 37.

Semasa hujahan, Surendran berkata, pertuduhan yang dihadapi anak guamnya, kabur dan tidak memungkinkan mereka mendapat perbicaraan yang adil.

Menurutnya, eleman kesalahan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, ialah tidak berperlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Perbuatan melukakan perasaan agama lain yang merupakan elemen penting di bawah Seksyen 298, tidak tertakluk di bawah sekatan `ketenteraman awam' yang terkandung dalam Perkara 10(2)(a).

"Jika seksyen itu diisytiharkan melanggar Perlembagaan, maka pertuduhan terhadap anak guam saya terbatal dan tiada kes terhadap mereka,'' katanya.

Peguam ini turut menghujahkan bahawa, hanya Mahkamah Tinggi boleh menentukan sama ada frasa ‘melukakan agama lain’ seperti terkandung dalam peruntukan itu kabur atau sebaliknya.

Beliau berkata, Seksyen 298 Kanun Keseksaan itu, merupakan undang-undang sebelum negara merdeka yang memberi beban kepada Mahkamah Majistret untuk menilai kesahihannya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Malik berkata, persoalan perlembagaan yang dibangkitkan pihak pemohon, tidak perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, ia bukan persoalan yang sukar, sebaliknya boleh diputuskan pada akhir perbicaraan.

Katanya, di peringkat ini, permohonan rujukan ini adalah pramatang kerana bicara kes belum bermula.

"Persoalan itu dibangkitkan berdasarkan anggapan semata-mata dan bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan selain saksi masih belum dipanggil memberi keterangan.

"Justeru, pihak kami memohon mahkamah menolak permohonan yang dibangkitkan oleh kedua-dua pemohon," katanya.

Pada 17 Januari lalu, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng didakwa, sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada jam 12.34 tengah hari, 26 Februari 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!