Pengarah didakwa pindah wang milik syarikat lebih RM800,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan wang milik syarikatnya berjumlah lebih RM800,000 ke syarikat lain, dua tahun lepas.

Chin Wai Lan, 50, didakwa sebagai pengarah syarikat Infinity Trustee Berhad telah memindahkan wang RM859,750 daripada akaun semasa Alliance Bank Berhad milik syarikatnya ke akaun semasa CIMB Bank Berhad milik Pixelvest Sdn Bhd.

Mengikut pertuduhan, tindakan itu bagi melanjutkan perlakuan salah Pixelvest Sdn Bhd yang menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang sedangkan ia bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Wai Lan didakwa melakukan perbuatan itu di Alliance Bank Malaysia Berhad, Petaling Jaya di sini pada 11 Okt 2022 mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama perenggan 370(b) dan subseksyen 367(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) akta sama.

Akta itu memperuntuk hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Azrul Darus membenarkan permohonan Chin, yang diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, untuk mengguna pakai jaminan RM10,000 yang ditetapkan terhadap tertuduh sebelum ini beserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 10 Julai ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Muhammad Izzat Fauzan.

Artikel Berkaitan:

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Ang Jen Chuen, 31, yang mewakili Syarikat Pixelvest Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas dakwaan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang sedangkan ia bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Emporis SOHO, Kota Damansara di sini antara 15 Disember 2020 dan 31 Ogos 2022 mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 6 Jun ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Izzat manakala Jen Chuen diwakili peguam Fakrul Redha Paridul Adras. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!