[VIDEO] Hakim terkhilaf bebaskan Bung Moktar, Zizie Izette - Pendakwaan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan bagi kes rasuah RM2.8 juta membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, memberitahu hakim Mahkamah Tinggi, di sini terkhilaf ketika melepaskan pasangan suami isteri itu daripada tiga pertuduhan berkenaan.

Menerusi petisyen rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu, alasan berkenaan merupakan antara tujuh isu rayuan, dikemukakan pihak pendakwaan terhadap keputusan pembebasan terbabit.

Berdasarkan dokumen terbabit, pendakwaan berkata, hakim itu terkhilaf dalam menjalankan bidang kuasa semakan, selepas keputusan prima facie Mahkamah Sesyen yang memberikan penilaian maksimum di peringkat pendakwaan.

Katanya, isu ini timbul apabila keputusan terbabit melalui proses semakan undang-undang tanpa merujuk alasan penghakiman penuh dan rekod prosiding daripada Hakim Mahkamah Sesyen.

Berdasarkan alasan kedua itu, beliau berkata, ia mengenai keterangan yang diberikan semasa perbicaraan oleh dua saksi pendakwaan.

Mereka ialah Madhi Abdul Hamid, 45, dan perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 47, masing-masing selaku saksi pendakwaan (SP) ke-24 dan ke-25.

Bung Moktar dan Zizie Izette
Bung Moktar dan Zizie Izette

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mahkamah gagal mempertimbangkan, tiada ketidakadilan berlaku terhadap Bung Moktar, 67, dan Zizie Izette, 47, selaku responden kerana keputusan prima facie bukan dapatan muktamad bagi kesalahan yang dipertuduhkan.

"Yang Arif Hakim telah terkhilaf apabila bertindak untuk menilai kembali keterangan SP24 dan SP25 dalam menjalankan bidang kuasa semakan di bawah Seksyen 325 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila bergantung sepenuhnya kepada keputusan lisan prima facie oleh di akhir kes pendakwaan tanpa menilai alasan bertulis penuh.

“Tiada dinyatakan dalam keputusan lisan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa keputusan prima facie yang dibuat hanya bergantung semata-mata kepada keterangan lisan SP24 dan SP25,” katanya dalam petisyen itu.

Pendakwaan berkata, ia termasuk kegagalan untuk mempertimbangkan keboleh terimaan keterangan separa hostile oleh dua saksi utama terbabit.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Julai depan untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Bung Moktar dan isterinya daripada tiga kes itu.

Pada 7 September 2023, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan mereka selepas membenarkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan untuk membela diri sementara pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September tahun sama.

Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala isterinya didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!