PATI cari kerja guna MyKad palsu dibeli pada harga RM500

Tiga PATI warga Filipina ditahan JPN dalam operasi di Pulau Indah, Klang pada Jumaat.
Tiga PATI warga Filipina ditahan JPN dalam operasi di Pulau Indah, Klang pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Kegiatan miliki kad pengenalan palsu dengan bayaran RM500 terbongkar susulan penahanan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di Pulau Indah, di sini pada Jumaat.

Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, operasi kira-kira jam 1 pagi itu mendapati PATI terbabit merupakan warga Filipina berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun.

Katanya, hasil soal siasat, suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu mengakui membeli MyKad terbabit daripada ejen dengan harga RM500.

"Ada juga suspek yang mendakwa meminjam kad pengenalan berkenaan daripada kenalan lain bagi tujuan mencari kerja secara haram di Malaysia.

“Mereka dipercayai menggunakan MyKad palsu dan pengenalan diri orang lain bagi mendapatkan pekerjaan di Malaysia,” katanya pada Jumaat.

Tambah JPN, PATI terbabit dipercayai memiliki MyKad palsu dan dokumen milik individu lain itu antara dua minggu ke enam bulan.

Tegasnya, siasatan akan dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Ujarnya, operasi berkenaan dijalankan bagi membanteras penyalahgunaan MyKad dalam kalangan warga asing.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!