Jangan pertikai cara Malaysia tangani isu keganasan

HASSAN
HASSAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pendirian dan cara Malaysia dalam menangani isu keganasan tidak wajar dipertikaikan oleh wakil negara luar yang datang ke Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pendirian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika bertemu Setiausaha Rendah Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi Keganasan dan Risikan Kewangan AS, Brian Nelson wajar disokong oleh rakyat Malaysia.

“Dalam hal ini saya sokong pendirian Menteri Dalam Negeri itu. Amerika Syarikat perlu hormat pendirian Malaysia ini.

"Wakil AS yang datang ke negara ini jangan berlagak sombong untuk mengugut Malaysia dengan ancaman sekatan sepihak olehnya ke atas pihak-pihak di Malaysia.

"Apa yang dikatakan oleh Saifuddin adalah tepat, iaitu Malaysia hanya iktiraf sebarang bentuk sekatan yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagi Hassan, pendirian berani yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu bahawa Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat sebagai anggota sah PBB menjelaskan kepada wakil AS yang datang itu, bahawa Malaysia bukan sebuah negara yang boleh dibuli oleh sebuah dunia.

Beliau menyifatkan Saifuddin telah menjalankan tanggungjawab terbaik yang mengutamakan patriotisme dan tidak tunduk kepada kuasa besar.

"Pendirian yang diutarakan oleh Saifuddin dalam soal sepenting ini, dalam hubungan bernegara adalah satu pendirian yang patriotik, dan progresif melambangkan dasar dalam negeri dan luar negeri Malaysia yang bebas dan dinamik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, sebuah agensi berita antarabangsa melaporkan, pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan AS akan ke Singapura dan Malaysia dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan proksinya selain pengelakan sekatan terhadap Russia.

Laporan berita berkenaan mendakwa, terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas melalui sistem kewangan di Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!