KUCHING - Walaupun Pakatan Harapan Sarawak masih belum mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, awal-awal lagi DAP Sarawak mula memasang angan-angan untuk memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, DAP Sarawak akan bertanding sekurang-kurangnya di 18 kerusi luar bandar dan yakin mampu menawan lima hingga 10 kerusi Dun itu.

"Kami yakin untuk menembusi kawasan pedalaman dalam pilihan raya negeri. Tambahan pula, saya berpendapat kami mempunyai peluang yang agak baik untuk mengekalkan 12 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, DAP Sarawak mengumumkan ia akan bertanding di 30 kerusi. Semalam, Parti Amanah Negara (Amanah) turut mengumumkan parti itu akan bertanding di 13 kerusi Dun, termasuk di luar bandar dan bandar pada PRN akan datang.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian mengumumkan bahawa PKR dijangka bertanding di 40 kerusi Dun dan pertindihan tuntutan kerusi tidak wujud.

Namun begitu, Pas yang tidak termasuk dalam Pakatan Harapan mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi Dun pada PRN kali ini.     

Sebanyak 11 kerusi Dun baharu diperkenal pada PRN kali ini berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun lepas, menjadikan kesemuanya 82 kerusi.

Pada pilihan raya negeri 2011, BN menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam Dun Sarawak manakala DAP memenangi 12 kerusi (Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kawa, Jepok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Pelawan, Kidurong, Piasau, dan Pujut), PKR (Batu Lintang, Krian dan Ba'Kelalan) dan satu kerusi disandang wakil bebas (Pelagus). - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - DAP mempersoalkan tindakan kerajaan dan pihak berkuasa, yang didakwanya tidak mengambil tindakan secukupnya terhadap penyebaran berita palsu di media sosial sebelum ini.
  • IPOH - DAP Perak yakin mampu mengekalkan kerusi Dun Tebing Tinggi walaupun berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya hingga menyebabkan komposisi pengundi berubah.
  • KULAI - Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mengalu-alukan sesiapapun calon yang mahu bertanding untuk kerusi kawasan itu pada PRU14.
  • SHAH ALAM - Orang Melayu diminta berhati-hati dengan kebangkitan DAP sekiranya Pakatan Harapan (Harapan) menjadi kerajaan Persekutuan, jika mereka memenangi PRU14.
  • IPOH - Pemuda DAP Perak yakin pakatan pembangkang dapat merampas lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis.