MELAYU bukan pemalas, Cina bukan penipu, India bukan samseng. Itu prinsip yang saya pegang selama ini,” tegas aktivis sosial, Siti Norlizawati Narawi, 43.

Dia mengecam sikap sesetengah individu yang gemar melabel bangsa tertentu dengan sikap negatif.

Katanya, persepsi itu harus dibuang bukan sahaja kerana Malaysia merupakan negara berbilang kaum, malah tanggapan sebegitu tidak benar sama sekali.

Dia yang sudah bergaul dan bekerjasama dengan pelbagai bangsa dan agama sejak belasan tahun lagi, menyifatkan pemikiran sebegitu hanya akan menyukarkan hubungan sesama manusia.

“Sejak kecil, kemudian ke universiti dan bekerja pula, tidak pernah ada sekelumit isu perkauman bermain dalam fikiran atau bersarang di hati saya.

Siti Norlizawati (tiga, kiri) ketika membuat laporan polis berhubung isu perkauman dalam negara.

“Tak ada guna bersikap begitu kerana ia hanya merugikan negara. Kita berulang kali dinasihatkan supaya bersatu-padu, jadi kenapa nak pilih bersikap negatif?

“Dulu lagi  isu ini kerap dimainkan dan sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini, sentimen perkauman seperti ini perlu dihapuskan,” katanya yang tinggal di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Mengulas lanjut sikap negatif orang Melayu yang digambarkan sebagai malas, katanya ia  tidak tepat kerana melalui pengalamannya sebagai aktivis, orang Melayu sangat rajin dan boleh diharap.

Malah, semangat kerjasama dan setia kawan sangat tinggi dan setiap tugasan diberi pasti akan dilakukan sebaik mungkin.

“Begitu juga dengan masyarakat Cina. Sepanjang saya bekerja dengan mereka, tak pernah pula saya ditipu malah mereka juga banyak membantu saya.

“Tidak kurang juga dengan orang India yang saya lihat mereka ini bukan samseng tetapi cara mereka bercakap agak kasar.

Siti Norlizawati gemar mengetengahkan elemen budaya dalam setiap programnya.

“Saya pernah ketuai satu mesyuarat dengan mereka sebelum ini. Semasa mesyuarat, macam nak bergaduh tapi bila selesai mereka bergelak-ketawa macam tak ada apa-apa berlaku,” katanya.

Semua bangsa ada keistimewaan tersendiri

Bagi Siti Norlizawati,  masyarakat Cina boleh dikategorikan sebagai ‘menepati janji’ dan akan berterus-terang jika  mereka tidak mampu melakukan sesuatu kerja.

“Mereka tak berjanji bulan bintang dan sebagainya. Biasanya mereka mahu pastikan kerja mereka berkualiti. Kalau tak boleh, mereka tak akan buat.

“Itulah mereka yang saya kenal. Persepsi mengatakan mereka gemar bersikap perkauman juga tak benar kerana setahu saya, mereka amat hormati orang lain,” ujarnya.

Sebagai individu yang sering bergaul dengan orang ramai, dia tidak menafikan perasaan tidak puas hati sememangnya wujud antara masyarakat di Malaysia namun semuanya boleh diselesaikan secara baik.

Namun katanya, rakyat Malaysia perlu membuang sikap menyalahkan satu-satu bangsa apabila ada individu melakukan kesalahan kerana yang bersalah adalah individu itu sendiri, bukan bangsanya.

“Biasa saya tengok bila ada perkara yang viral di laman sosial melibatkan sesuatu bangsa, akan ada pelbagai komen hinaan dan makian pada bangsa tersebut. Perkara ini sepatutnya tak berlaku.

Siti Norlizawati juga banyak melakukan kerja amal di perkampungan Orang Asli.

“Mengapa perlu kaitkan bangsa sedangkan yang bersalah hanya beberapa orang? Komen-komen sebegini sebenarnya banyak merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya anak muda.

“Sedih apabila melihat bangsa sendiri mencemuh bangsa lain dan lebih sedih bila  yang menyokong. Sampai bila budaya negatif ini perlu berterusan,” soalnya yang sedih dengan perkembangan tidak sihat itu.

Sebelum mengakhiri perbualan, Siti Norlizawati sempat menasihatkan semua pihak supaya membuang jauh  sikap perkauman dalam diri mereka.

“Marilah kita tanam semangat sayangkan Malaysia dengan mewujudkan suasana harmoni tanpa pertelingkahan antara kaum. Satu Malaysia, sayang semuanya,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.