Kosmetik timbang kilo ancam kesihatan, penyebab kanser

SHAH ALAM - Penggunaan kosmetik timbang kilo yang mengandungi logam berat seperti arsenik, kromium, plumbum, kadmium dan merkuri melebihi paras selamat boleh menyebabkan kerosakan kulit serta menyerap masuk ke dalam aliran darah.
Dekan Pusat Pengajian CITRA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penggunaan berterusan produk sedemikian berisiko mencetuskan kanser, alahan, gangguan hormon wanita, kerosakan buah pinggang serta reaksi keracunan serius.
“Kosmetik timbang kilo lazimnya dihasilkan melalui proses pengilangan tidak selamat, tanpa pelabelan kandungan jelas dan berkemungkinan tercemar dengan bahan asing.
“Produk ini mungkin mengandungi pencemaran seperti talc bercampur asbestos, bahan kimia berbahaya seperti PFAS (per- and polyfluoroalkyl substances) selain bahan pemutih, pewarna dan pewangi yang tidak terkawal,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob dilapor berkata, jualan kosmetik murah timbang kilo dijangka meningkat menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Beliau menegaskan, penjualan produk tersebut tidak dibenarkan di bawah Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana gagal memenuhi keperluan asas keselamatan.
Dalam pada itu, Dr Sharifa Ezat yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan UKM menasihatkan pengguna supaya melakukan ujian alahan sebelum menggunakan sebarang produk kosmetik.
“Calit sedikit bahan kosmetik pada kulit tangan atau kawasan yang ingin digunakan bagi melihat sama ada berlaku reaksi.
“Ada juga bahan mekap boleh bertindak balas dengan cahaya UV. Selepas memakai mekap, ia perlu dicuci segera dan tidak dibiarkan semalaman, termasuk lensa kontak mata dan maskara kerana boleh menyebabkan alahan teruk serta kecacatan mata,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan berlebihan yang diiklankan di media sosial.
Menurutnya, kebanyakan produk itu dijual di farmasi atau premis berdaftar pada harga ditetapkan mengikut piawaian pasaran semasa.
“Pilih produk yang telah menjalani ujian keselamatan, mempunyai pelabelan jelas serta kandungan dalam paras dibenarkan.
“Produk hipoalergenik dan zero irritant mungkin sedikit mahal, namun lebih sesuai untuk kulit sensitif kerana telah melalui ujian makmal dermatologi,” katanya.
Ringkasan AI
- Kosmetik timbang kilo boleh mengandungi logam berat melebihi paras selamat menyebabkan kerosakan kulit dan masuk dalam aliran darah
- Penggunaan produk sedemikian secara berterusan berisiko kanser, alahan, gangguan hormon, kerosakan buah pinggang dan reaksi keracunan serius
- Diproduksi melalui proses pengilangan tidak selamat, tiada pelabelan kandungan jelas, dan mungkin tercemar bahan asing
- Penjualan kosmetik timbang kilo tidak dibenarkan di bawah Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana gagal memenuhi keperluan keselamatan
- Pengguna disarankan melakukan ujian alahan sebelum menggunakan produk kosmetik, memilih produk yang telah diuji keselamatan dengan pelabelan jelas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

