Pengambilan guru kontrak tidak jejas peluang calon guru simpanan sedia ada - KPM

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A

SEREMBAN - Pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) secara lantikan kontrak yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula Mac ini tidak menjejaskan peluang calon guru simpanan sedia ada.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya malah telah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk mengerakkan calon guru simpanan yang berkelayakan.

"Individu yang berjaya ditemu duga tetapi dikategorikan sebagai calon guru simpanan tidak perlu bimbang kerana peluang untuk diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan masih cerah.

"Calon simpanan ada peluang yang cerah dan ia bergantung pada situasi...mungkin mereka akan ditempatkan sama ada di sekolah rendah, menengah dan opsyen berlainan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Papan Pintar Interaktif kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan segelintir calon guru simpanan berhubung pengambilan 20,000 guru baharu yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, permohonan pengambilan 20,000 PPP Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif pengambilan guru besar-besaran itu sebahagian daripada persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 selain menyokong kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela tahun hadapan.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, pengambilan guru baharu tersebut akan memfokuskan kepada sekolah rendah berikutan ia merupakan pengambilan khas untuk menampung kemasukan murid Tahun Satu melibatkan situasi dua kohort pada tahun hadapan.

Terdahulu, beliau berkata, sebanyak 45 SJKT di negeri ini masing-masing menerima sebuah papan pintar interaktif dengan peruntukan RM540,000.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, inisiatif diusahakan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu diharap dapat membawa imej sistem pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan sekali gus memperkasa murid dengan kemahiran teknologi digital masa kini. - Bernama

Ringkasan AI

  • Pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara kontrak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bermula Mac ini
  • Calon guru simpanan tidak terjejas dan masih memiliki peluang cerah untuk diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan
  • Pengambilan ini sebahagian daripada persiapan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan untuk menyokong kemasukan murid Tahun Satu
  • Fokus pengambilan khas pada guru sekolah rendah untuk menampung kemasukan murid Tahun Satu tahun depan
  • Sebanyak 45 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Sembilan menerima papan pintar interaktif, dibiayai oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!