SHAH ALAM – Merdeka #QuranHour julung kali diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, untuk memupuk perpaduan dan cinta negara melalui pendekatan al-Quran.

Program kerohanian dengan pengisian interaksi bersama al-Quran itu akan bermula jam 4 petang hingga 10.30 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Merdeka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Rozilah Katan berkata, Merdeka #QuranHour menjadi satu daripada 12 acara utama bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017.

“KKMM selaku Urusetia Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2017 telah merancang pelbagai acara sempena sambutan Bulan Kebangsaan, bermula 1 Ogos hingga 19 September ini.

"Selain Merdeka #QuranHour, lain-lain acara termasuk Merdeka@Komuniti, NBOS@Merdeka, Kayuhan Merdeka, Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa, Doa Untuk Malaysia, Merdeka My Buddies Run, Amanat Merdeka, Ambang Merdeka, Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2017, Karnival Hari Malaysia dan Sambutan Hari Malaysia," katanya.

Menurutnya, tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos jatuh bersamaan 9 Zulhijah 1438H, di mana Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) turut menganjurkan World #QuranHour.

“Memandangkan pihak kami dan WUI mempunyai persamaan dalam misi perpaduan, kita mula mengadakan inisiatif perbincangan Merdeka #QuranHour.

"Program tersebut dapat direalisasikan selepas melalui proses pembentangan dan persetujuan di peringkat Jawatankuasa Kerja bersama Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad serta Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan Menteri KKMM, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Program ini juga diluluskan penganjurannya oleh Jemaah Menteri sebagai salah satu daripada 22 program utama tahun ini,” katanya.

Rozilah berkata, mesej dalam sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun adalah perpaduan dan cinta negara.

"Kami sebagai penganjur bersama WUI menyambut baik Merdeka #QuranHour bagi melihat perkara baik dalam al-Quran berkenaan perpaduan sejagat dan cinta negara, dikongsi dengan seluruh rakyat termasuk mereka yang bukan Islam.

“Sejak empat tahun lalu, kami guna pendekatan rohani dengan mengadakan program Doa Untuk Malaysia. Tahun ini, kami tambah lagi aktiviti ini dengan Merdeka #QuranHour," katanya.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan surat pemakluman mengenai pelaksanaan Merdeka #QuranHour kepada negeri-negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kami mengalu-alukan sokongan negeri-negeri. Mereka boleh adakan aktiviti tersebut di negeri masing-masing,” katanya.

Ditanya dari segi cabaran persiapan program kali ini, Rozilah berkata, tahun ini sambutan Hari Kebangsaan jatuh sehari sebelum Aidiladha, yang secara kelazimannya semua akan pulang ke kampung meraikannya.

"Tapi, tahun ini kita ajak semua rakyat Malaysia terutama  warga Kuala Lumpur dan berdekatan yang tidak pulang berhari raya di kampung untuk sama-sama mencipta sejarah dengan berhimpun di Dataran Merdeka bagi menjayakan Merdeka #Quran Hour.

"Kita amat mengharapkan sokongan orang ramai supaya kita boleh sama-sama gema takbir di Dataran Merdeka, seterusnya meraikan Aidiladha," katanya.

Bermula jam 4 petang, Gema Wahyu diadakan dengan pengisian lantunan bacaan al-Quran oleh qari, pendakwah dan selebriti terkenal. Ia diikuti Gema Takbir bagi menyambut malam Aidiladha dan kemuncak program, Merdeka #QuranHour jam 8.30 malam.

"Kita akan guna kemudahan dan logistik sedia ada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. Pengunjung berpeluang menyaksikan penampilan artis dan selebriti agama serta pelbagai pengisian bersesuaian mesej Merdeka #QuranHour yang akan dipancarkan menerusi skrin LED sepanjang 200 meter.

“Diharapkan mesej untuk kita mewujudkan masyarakat berbudi dan penyayang, perpaduan dan cintai negara dapat diterima masyarakat berbilang kaum dan agama melalui pendekatan program ini," katanya.

Pihak Sekretariat Merdeka turut mendapatkan kerjasama perkhidmatan awam termasuk bas, komuter, LRT dan MRT untuk dipanjangkan waktu operasinya pada malam tersebut.

Tempat solat dan tandas juga disediakan untuk kemudahan orang ramai.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :