Indeks Malaysia Negara Rahmah jadi pemangkin bentuk pemikiran masyarakat

PETALING JAYA – Laporan Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) berpotensi menjadi pemangkin dalam membentuk pemikiran masyarakat yang lebih berteraskan rahmah serta nilai kemanusiaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, IMNR yang diasaskan dan dilaksanakan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut berpotensi dijadikan rujukan.
“Bukan sahaja oleh kerajaan, malah pihak berkepentingan bagi menilai sejauh mana dasar serta amalan dilaksanakan selari dengan konsep rahmah. Barangkali inilah yang kita cuba lakukan. Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah kepada IKRAM. Ini akan menjadi satu pemangkin kepada usaha kita untuk membentuk dan mencipta pemikiran rakyat yang berteraskan rahmah, khususnya pemikiran umat Islam yang rahmah dan bukan ‘marah-marah’.
“Kita memerlukan lebih banyak idea baharu untuk digerakkan. Kita perlukan idea yang tuntas untuk melaksanakan perubahan dan idea itu mestilah segar,” katanya ketika berucap pada sesi pembentangan dan sidang media Laporan IMNR 2025 di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, Malaysia diiktiraf antara negara terbaik dunia dalam pelbagai aspek pengurusan dan pentadbiran Islam termasuk halal, haji, kewangan Islam, wakaf dan zakat, namun tahap pemikiran serta penghayatan Islam berteraskan rahmah dalam kalangan rakyat masih belum mencapai tahap yang dihasratkan.
Menurutnya, pengurusan zakat negara juga semakin baik termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan agihan.
“Malahan, hari ini jika kita melihat kepada pungutan dan agihan zakat, kita boleh mengetahui ke mana wang tersebut disalurkan secara dalam talian dan masa nyata. Ini antara perkara yang baik.
“Namun begitu, terdapat satu perkara yang pada pandangan saya masih belum mencapai tahap yang diinginkan, iaitu tahap pemikiran rakyat dan umat Islam yang berkemajuan, progresif, dinamik, wasati, berteraskan maqasid dan rahmah,” katanya.
Sementara itu, Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin berkata, IMNR dibangunkan sebagai satu alat refleksi bagi memahami bagaimana rakyat menilai usaha pembangunan negara serta sejauh mana nilai rahmah diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, IMNR tidak bertujuan menilai atau menghukum mana-mana pihak, sebaliknya berfungsi sebagai cermin dan pelengkap kepada usaha kerajaan dalam merangka serta melaksanakan dasar pembangunan negara.
“IMNR diwujudkan sebagai instrumen refleksi bagi membantu semua pihak memahami realiti di lapangan, khususnya dari perspektif rakyat, selari dengan aspirasi pembinaan Malaysia Negara Rahmah,” katanya.
Beliau berkata, dalam era pascanormal, data berasaskan maklum balas rakyat seperti IMNR memainkan peranan penting dalam menilai keberkesanan pelaksanaan dasar, mengenal pasti jurang antara perancangan dan impak sebenar serta memperkukuh kepercayaan rakyat melalui pendekatan yang lebih telus dan berpusatkan rakyat.
Tambahnya, perubahan yang sedang digerakkan kerajaan akan menjadi lebih tepat dan berkesan apabila disokong oleh maklum balas masyarakat yang mencerminkan realiti sebenar.
“Kami percaya penglibatan rakyat dalam memberikan maklum balas akan membantu proses mengemudi perubahan agar lebih berlandaskan keperluan sebenar dan realiti semasa,” ujarnya.
Badlishah turut menegaskan bahawa pembinaan Negara Rahmah dan Negara Madani merupakan gagasan panduan yang menuntut tanggungjawab bersama semua pihak.
“Ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan rakyat keseluruhannya. Kami komited untuk terus memainkan peranan secara konstruktif, inklusif dan beretika dalam menyokong usaha pembinaan negara,” katanya.
Menurut beliau, usaha berterusan itu penting bagi membina Malaysia yang lebih adil, sejahtera dan lestari, bukan sahaja untuk generasi hari ini, malah generasi akan datang.
Badlishah turut berharap pembentangan IMNR 2025 dapat menjadi alat refleksi dan sokongan berkesan kepada pembuat dasar, seterusnya menyumbang kepada tindakan yang lebih tepat demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Tambahnya, skor keseluruhan 7.42 dalam IMNR 2025 menunjukkan peningkatan berbanding skor IMNR 2023 (7.24), IMNR 2022 (6.47) dan IMNR 2021 (6.09).
“Sejak pelaksanaannya pada tahun 2021, IMNR telah melalui beberapa proses penambahbaikan merangkumi tiga dimensi utama iaitu politik, ekonomi dan sosial, yang melibatkan 15 ciri, 40 indikator serta 120 perkara penilaian.
“Penambahbaikan ini menjadikan IMNR lebih komprehensif dan holistik, selari dengan perkembangan semasa serta berpandukan kerangka Madani, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.
Menurutnya, indeks tersebut dibangunkan dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan, pertubuhan sivil, masyarakat madani daripada pelbagai agama dan etnik serta ahli akademik daripada pelbagai bidang.
“Kajian ini menggunakan kaedah persampelan kluster dua peringkat dan dilaksanakan dari 26 September hingga 15 November 2025.
“Ia melibatkan seramai 3,030 responden berusia 18 tahun ke atas dan berpendidikan pasca-SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) daripada pelbagai kaum dan latar belakang,” katanya.
Ujarnya, kajian tersebut mendapati tiga ciri dengan skor tertinggi ialah Ciri 6: Institusi Keluarga yang Utuh (8.51), diikuti Ciri 5: Masyarakat yang Bahagia, Berakhlak dan Penyayang (8.22) serta Ciri 7: Hubungan Harmoni antara Pelbagai Etnik dan Penganut Agama (8.04).
“Manakala tiga ciri dengan skor terendah ialah Ciri 9: Agihan Kekayaan yang Saksama (6.78), Ciri 8: Ekonomi yang Mampan (6.94) dan Ciri 2: Sistem Pemerintahan Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan (6.95),” katanya.
Laporan Kajian IMNR berfungsi sebagai penanda aras dalam menilai sejauh mana dasar, pelaksanaan serta amalan negara selari dengan konsep rahmah yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keharmonian sosial, selain mengukur dimensi pemikiran masyarakat berteraskan pendekatan maqasid dan rahmah secara lebih menyeluruh.
Ringkasan AI
- Laporan Indeks Malaysia Negara Rahmah berpotensi meningkatkan pemikiran berteraskan rahmah dan nilai kemanusiaan
- Diasaskan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia dan dijadikan rujukan untuk menilai dasar dan amalan berkonsep rahmah
- Malaysia dikenali sebagai negara terbaik dalam pengurusan Islam tetapi pemikiran rakyat masih belum mencapai tahap dihasratkan
- IMNR dibangunkan sebagai alat refleksi pemahaman rakyat terhadap usaha pembangunan negara dan nilai rahmah
- Skor keseluruhan IMNR 2025 menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun, menunjukkan pembangunan positif dalam aspek rahmah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

