ETS beroperasi 24 jam pada musim perayaan, cuti panjang - Anthony

Anthony (depan, tengah) bergambar bersama kakitangan Kementerian Pengangkutan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 kementerian itu di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
Anthony (depan, tengah) bergambar bersama kakitangan Kementerian Pengangkutan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 kementerian itu di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan beroperasi 24 jam secara bermusim mulai Tahun Baharu Cina bulan depan sebagai langkah memperkukuhkan sistem pengangkutan negara dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan ETS itu akan dipertingkatkan daripada 36 kepada 46 trip sehari bagi membolehkan lebih ramai penumpang menikmati perjalanan yang kerap, fleksibel, selesa di antara bandar utama di Semenanjung Malaysia.

"Perkhidmatan ETS 24 jam ini hanya untuk musim perayaan, bermula Tahun Baharu Cina dan seterusnya perayaan-perayaan lain serta cuti panjang. Kita mahu mengoptimumkan aset sedia ada dan menambah kapasiti ketika permintaan tinggi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) Bulan Januari 2026 di sini pada Rabu.

Ujar beliau, ETS merupakan perkhidmatan popular dalam kalangan rakyat termasuk pelancong yang kini menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), justeru arahan mengoptimumkan aset telah dikeluarkan bagi menampung permintaan.

"Kita mahu pendekatan seperti syarikat penerbangan yang menambah penerbangan tambahan ketika musim puncak sebab itu KTMB kini memperkenalkan konsep ‘Midnight Trains’.

"Apabila tiba musim permintaan tinggi, kita akan tambah kekerapan dan kapasiti. Ini penting supaya lebih ramai rakyat boleh mendapatkan tiket ETS,” jelas Anthony.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dilaporkan kekal mengikut jadual iaitu pada Januari 2027 berikutan sistem rel memerlukan penelitian memandangkan ia melibatkan pelbagai sistem termasuk ujian integrasi.

“Kita kena faham bahawa sistem keretapi bukan sahaja tengok landasan, ia mesti ada integrasi sistem dahulu.

“Jadi, pemeriksaan atau ujian sistem belum dimulakan. Bagi pihak MOT, kita masih kekal dengan jadual pada Januari tahun depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memaklumkan ECRL mungkin beroperasi lebih awal iaitu November berbanding tahun depan.

Ringkasan AI

  • Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan beroperasi 24 jam secara bermusim mulai Tahun Baharu Cina bulan depan
  • ETS meningkat dari 36 ke 46 trip sehari sempena musim perayaan
  • Operasi 24 jam ETS bertujuan mengoptimumkan aset dan menambah kapasiti semasa permintaan tinggi
  • Konsep 'Midnight Trains' diperkenalkan sebagai usaha menambah kekerapan dan kapasiti
  • Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadual beroperasi pada Januari 2027, melibatkan integrasi sistem pelbagai aspek

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!