Kes serangan anak Rafizi: Maklumat siasatan tidak akan didedah di Dewan Rakyat - Saifuddin

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan mendedahkan secara terbuka maklumat berkaitan siasatan serangan ke atas anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di Dewan Rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendedahan secara terbuka dikhuatiri akan mengganggu proses mengesan suspek serta boleh menjejaskan keselamatan saksi-saksi penting.
"Justeru, permintaan tersebut tidak dapat dilaksanakan.
"Pihak kementerian memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan tanpa kompromi," katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Rafizi sama ada Menteri Dalam Negeri akan mengesahkan secara terbuka beberapa maklumat yang disampaikan secara peribadi kepada beliau pada 1 Disember 2025, berhubung hasil siasatan pihak berkuasa mengenai dalang di sebalik serangan ke atas anaknya yang berlaku pada 13 Ogos 2025.
Tambah Saifuddin, sebarang perkembangan lanjut yang boleh didedahkan kepada umum tanpa menjejaskan siasatan akan dimaklumkan melalui kenyataan rasmi KDN atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelak.
Dalam kejadian 13 Ogos tahun lalu, anak lelaki tunggal Rafizi yang berusia 12 tahun diserang seorang individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
PDRM melaporkan 19 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk ahli keluarga, pemandu dan pekerja Rafizi selain pihak pengurusan premis.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga diteliti, namun imej diperoleh tidak begitu jelas dan masih belum dapat mengenal pasti individu terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

