Kerajaan pertimbang semua aspek sebelum putus isu UEC

Zambry ketika menghadiri Program KARISMA Pemimpin Muda Madani Zon Utara 2026 di Universiti Sains Malaysia pada Rabu.
Zambry ketika menghadiri Program KARISMA Pemimpin Muda Madani Zon Utara 2026 di Universiti Sains Malaysia pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan menegaskan setiap keputusan berkaitan pendidikan termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dibuat selepas mengambil kira semua aspek demi kepentingan seluruh rakyat dan sistem pendidikan negara secara menyeluruh.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, isu UEC tidak boleh dilihat secara terasing kerana ia berkait rapat dengan keperluan penguasaan bahasa Melayu dan sejarah dalam semua sistem persekolahan yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan.

“Saya telah sebutkan berkali-kali, perkara ini berkaitan dengan keperluan bahasa Melayu dan sejarah bagi semua sistem persekolahan yang tidak mengikut kurikulum nasional.

“Ia bukan hanya terkhusus kepada UEC semata-mata tetapi turut melibatkan sekolah antarabangsa serta sekolah agama yang tidak menggunakan kurikulum tersebut,” katanya selepas menghadiri Program KARISMA Pemimpin Muda Madani Zon Utara 2026 di Universiti Sains Malaysia pada Rabu.

Menurut beliau, perkara itu juga selari dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan mahu menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh meliputi keseluruhan ekosistem pendidikan dan bukan tertumpu kepada satu kursus atau laluan pendidikan sahaja.

Jelasnya, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dan bersepadu sebelum sebarang keputusan rasmi diumumkan termasuk melalui perbincangan bersama kementerian serta pihak berkepentingan.

“Yang Berhormat Menteri Pendidikan telah mengadakan pertemuan dengan badan-badan terlibat dan selepas itu kita akan duduk bersama.

“Kita tidak mahu berlaku situasi di mana saya membuat satu keputusan dan kementerian lain pula membuat keputusan berbeza. Semua ini perlu diputuskan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan telah dan sedang dijalankan melibatkan pelbagai pihak termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta wakil UEC memandangkan tawaran dan laluan pendidikan tersebut berada di bawah bidang kuasa kementerian berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Selepas semua perbincangan ini selesai, barulah kita akan keluarkan pendirian dan keputusan secara rasmi," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan adalah lumrah setiap pihak mempunyai pandangan masing-masing namun keputusan akhir kerajaan akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan nasional secara keseluruhan.

“Yang paling besar, apabila kerajaan membuat keputusan, ia telah mengambil kira semua aspek untuk kepentingan semua,” katanya.

Terdahulu, wakil daripada gabungan 32 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam menggesa kerajaan untuk memansuhkan secara kekal draf Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang telah ditarik balik serta mengulangi bantahan mereka terhadap sebarang rancangan untuk mengiktiraf UEC secara rasmi.

Mereka menyifatkan kedua-dua isu tersebut sebagai 'tuntutan' DAP.

Tuntutan kumpulan itu juga ditujukan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tetapi tiada menteri mahupun wakil ahli parlimen kerajaan yang keluar untuk bertemu dengan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!