[VIDEO] Anwar hilang sabar, beri tempoh seminggu kepada pegawai tertinggi badan penguat kuasa
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka mengakui hilang kesabaran terhadap kelemahan berterusan dalam penguatkuasaan undang-undang, khususnya melibatkan penyeludupan, pencerobohan serta kegiatan gelap yang masih berlaku dalam negara.
Berucap di Majlis Amanat Bersama Ketua Jabatan dan Agensi Penguakuasa Berkaitan Jenayah Kewangan pada Rabu, beliau menegaskan sudah sampai masanya pegawai tertinggi badan penguat kuasa memberi jawapan jelas terhadap keupayaan mereka melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan atau bersedia ke jawatan lebih rendah.
"Saya sampai satu tahap hilang kesabaran. Kalau sudah diamanahkan dan rasa kurang mampu kerana cabaran terlalu besar, saya syorkan dalam tempoh seminggu ini maklumkan kepada ketua jabatan, kepada saya sendiri atau menteri bahawa belum bersedia.
"Saya akan hormat kalau memilih untuk ke jawatan yang lebih rendah, tetapi kalau pikul tanggungjawab yang lebih kuat dalam tempoh seminggu, lakukan sebaik mungkin," tegasnya.
Majlis yang diadakan di Kementerian Kewangan itu dihadiri antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Datuk Seri Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Anwar berkata, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pentadbiran sejak tiga tahun lalu, kelemahan dalam penguatkuasaan tidak boleh terus ditoleransi kerana ia menjejaskan usaha pembaharuan yang diharapkan rakyat.
Menurut beliau, ruang penambahbaikan masih luas dan perlu ditangani secara jujur dengan melihat kekuatan serta kelemahan sistem secara menyeluruh, khususnya melibatkan agensi penguat kuasa.
“Sementara kita boleh bersyukur dengan pencapaian yang ada, kita juga mesti insaf dan sedar bahawa masih wujud ruang yang perlu diperbaiki serta kelemahan yang wajib diperbetulkan,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, selepas hampir tiga tahun mengemudi kerajaan, beliau kini lebih arif menilai realiti di lapangan termasuk kegagalan membendung penyeludupan, pencerobohan dan kegiatan gelap yang masih berlaku, ada kalanya akibat kelompangan.
Dalam nada tegas, Anwar mempersoalkan bagaimana penyeludupan boleh berlaku secara terang-terangan dan mengapa pasukan penguat kuasa masih dilihat bolos sehingga membenarkan keterlanjuran berterusan.
“Apakah kita sudah hilang nilai? Apa itu kebenaran, ikhlas, ihsan dan adil sehingga kita boleh izinkan perkara ini berlaku?” soal beliau.
Tegasnya, penguatkuasaan tidak boleh dijalankan secara bersendirian atau terpisah, sebaliknya memerlukan tindakan pantas dan bersepadu sebagai satu pasukan melibatkan semua agensi berkaitan.
Anwar turut mengingatkan bahawa pegawai yang memegang jawatan tinggi serta memiliki pengalaman puluhan tahun dan pengiktirafan luas bukan individu biasa, justeru kedudukan itu perlu disertai dengan keberanian membuat keputusan dan tindakan yang betul.
“Bintang-bintang kegemerlapan (pangkat) itu sepatutnya mendorong kita melakukan sesuatu yang benar dan bijak, bukan mengambil sikap sambil lewa,” katanya.
Beliau mengakui ramai penjawat awam telah menyumbang jasa besar dan perkara itu tidak boleh dinafikan, namun kerajaan tidak boleh berkompromi sekiranya budaya sambil lewa terus membenarkan penyeludupan, rasuah dan kegiatan kongsi gelap berlarutan.
Menurut Anwar, laporan pencapaian dan kejayaan boleh diketepikan buat sementara waktu, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada tindakan sebenar di lapangan bagi menutup segala ruang jenayah dan ketirisan.
“Saya bukan datang untuk beri gambaran yang luar biasa. Sekarang kita harus tanya diri, adakah bersedia lakukan pembaharuan dan bertanggungjawab membawa perubahan untuk selamatkan bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri ketika ditemui pemberita berkata, tempoh yang diberikan kepada kepimpinan agensi penguat kuasa mencerminkan ketegasan kerajaan untuk memperkasakan tadbir urus.
Malah beliau turut membangkitkan ketegasan Anwar di dalam Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikannya.
"Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Januari, tahun ini adalah tahun untuk tindakan pantas, maknanya kita kena memastikan pematuhan kepada tatakelola dan memperkasakan tadbir urus.
"Tahun ini kita akan banyak membuat penguatkuasaan dan kita akan membanteras rasuah, salah guna kuasa dan (perkara) yang tidak mengikut peraturan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
