RON95: Stesen minyak, pemilik atau pengguna kenderaan asing boleh dikenakan tindakan mulai April - Armizan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bermula 1 April ini kedua-dua pihak iaitu stesen minyak dan pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya melakukan jual beli RON95 bersubsidi.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia berdasarkan peraturan baharu di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melarang 'pembelian' RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing.
Menurutnya, sebelum ini di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, larangan hanya terhad kepada 'penjualan' petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan berpendaftaran asing.
"Maksudnya, larangan hanya kepada penjualan yang akan menyebabkan tindakan hanya akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak, tetapi tidak kepada pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing.
"Oleh sebab itu, peraturan baharu ini diperkenalkan bagi memperkasa penguatkuasaan terhadap terhadap ketirisan subsidi petrol RON95," katanya pada Waktu Pertanyaan bagi Jawap Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) berkenaan langkah komprehensif kerajaan bagi menjamin keberkesanan pengurusan subsidi petrol selepas pelaksanaan Budi Madani RON95 serta membanteras penyeludupan petrol di sempadan Tawau-Indonesia.
Tambah beliau, pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani RON95 berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan sebagai peneraju dasar, manakala kementeriannya bertanggungjawab mengawal selia pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan penguatkuasaan di peringkat runcit.
"Selaras dengan pelaksanaan penuh Budi RON95 pada 30 September 2025, mekanisme penggunaan MyKad diperkenalkan bagi memastikan hanya warganegara layak berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.
"Pendekatan ini bertujuan memastikan subsidi dinikmati golongan sasar serta mengekang ketirisan termasuk aktiviti penyeludupan bahan api di kawasan sempadan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Mulai 1 April, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap stesen minyak dan kenderaan asing yang membeli RON95 bersubsidi
- Peraturan baru di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961
- Sebelum ini larangan hanya kepada penjualan RON95 kepada kenderaan asing
- Peraturan baru untuk memperkasa penguatkuasaan terhadap ketirisan subsidi petrol RON95
- Mekanisme penggunaan MyKad akan diperkenalkan untuk pembelian RON95 dengan harga RM1.99 seliter untuk warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

