KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengemukakan pelbagai aspek penambahbaikan bagi mengelakkan kematian anggotanya dalam melaksanakan operasi menyelamat air.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata cadangan penambahbaikan itu yang terkandung dalam laporan siasatan tragedi kematian enam anggotanya dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan.

"Selain laporan siasatan dalaman, kita ada mencadangkan penambaikan dari aspek prosedur operasi standard (SOP) dan latihan serta perkara yang dirasakan perlu diperbaiki supaya tragedi sebegitu tidak berulang," katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Ramah Mesra Ketua Pengarah Bersama Pesara-pesara Bomba Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai laporan siasatan itu memandangkan satu jawatankuasa bebas ditubuhkan berhubung tragedi kematian enam anggota bomba pada 3 Okt lepas semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki.

Kejadian berlaku di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong Selangor, dan mereka yang terkorban ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Kesemua mereka adalah anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Shah Alam dipercayai maut selepas ditarik pusaran air deras di lombong itu.

Pada perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata pihaknya berusaha menjaga kebajikan pesara bomba yang banyak berjasa kepada negara termasuk dengan menubuhkan Persatuan Pesara-pesara Bomba di peringkat negeri.

"Selain Pahang, antara negeri yang menubuhkan persatuan pesara ini ialah Johor, Selangor dan Kuala Lumpur. Persatuan ini membolehkan kita memberi sumbangan secara berterusan kerana ada dalam kalangan mereka tidak sihat dan dimakan usia," katanya.

Mohammad Hamdan menambah bantuan lebih mudah disalurkan apabila anggota berdaftar sebagai ahli, memandangkan alamat mereka tidak disimpan oleh jabatan atau kemungkinan anggota berpindah selepas bersara.

Beliau menambah pesara bomba yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang tertentu juga boleh dipanggil untuk berkongsi pengalaman dengan anggota baharu. - Bernama