KPM sedia pertimbang cadangan keluar keputusan SPM lebih awal

Kah Woh (kanan) menyantuni pelajar di dalam kelas ketika hadir Pada Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pendidikan ke SABK Maahad Al Khair Lil Banat di Jalan Sekolah Arab, Jana Baru, Kamunting hari ini. Foto Bernama
Kah Woh (kanan) menyantuni pelajar di dalam kelas ketika hadir Pada Lawatan Kerja Timbalan Menteri Pendidikan ke SABK Maahad Al Khair Lil Banat di Jalan Sekolah Arab, Jana Baru, Kamunting hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menimbang cadangan semua pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 diumumkan lebih awal dari tarikh sedia ada, iaitu 27 Mei ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara itu akan dibawa ke perbincangan bagi diperhalusi oleh pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Seperti yang saya kata, kerajaan ini merupakan kerajaan yang sudi mendengar. Apabila kita menerima pandangan yang berbeza daripada semua sektor maka pihak KPM akan mempertimbangkan semua pandangan tersebut.

"Beri kami sedikit masa sebelum satu keputusan atau kenyataan media berkaitan dengan isu ini dapat dibuat nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan di SABK Maahad Al-Khair Lil Banat di sini pada Jumaat.

Semalam, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan peperiksaan SPM 2023 yang membabitkan 395,870 calon akan diumumkan pada 27 Mei ini bermula 10 pagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon dalam satu kenyataan merayu agar keputusan SPM 2023 diumumkan lebih awal (23 Mei) memandangkan tarikh rasmi dikeluarkan KPM itu merupakan cuti sekolah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!