RM1.06 bilion bangunkan projek infrastruktur di Sabah - Zahid

Ahmad Zahid ketika melawat pameran usahawan bimbingan Mara, RISDA dan Felcra selepas mesyuarat bersama Exco-exco Luar Bandar di Pacific Sutera hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika melawat pameran usahawan bimbingan Mara, RISDA dan Felcra selepas mesyuarat bersama Exco-exco Luar Bandar di Pacific Sutera hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM1.06 bilion bagi membangunkan 224 projek infrastruktur di Sabah pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek itu antara lain melibatkan Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK).

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman terdahulu, terdapat banyak projek mengalami kekangan untuk pelaksanaan di Sabah, justeru kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting untuk mengatasi kekangan atau halangan yang dihadapi.

"Keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) projek RM50 juta ke bawah dilaksanakan kerajaan negeri, RM50 juta ke atas dilaksanakan KKDW dan agensi pelaksananya Jabatan Kerja Raya jadi penyelarasan ini mesti dilakukan.

"Ini supaya pemegang taruh merasakan terdapat penyelarasan antara kerajaan negeri dan KKDW. Itu sebabnya kita panggil mesyuarat untuk selaraskan antara menteri atau exco menjaga luar bandar ini supaya kita dapat bersama-sama membantu kami bagi melaksanakannya (projek tersebut),” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi memastikan semua projek pembangunan yang diberikan kepada kerajaan negeri di seluruh negara dapat disegerakan serta berjalan lancar.

"Projek fizikal yang ada telah kita kemukakan kepada kerajaan negeri bagi pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

"Ia mesti dipantau untuk disegerakan dan kita mesti mencari jalan menyegerakannya dengan tidak mengetepikan tatakelola ditentukan kerajaan," katanya.

Memberikan contoh, beliau berkata, sesuatu projek diluluskan hanya boleh dilaksanakan setelah dua hingga tiga tahun kerana ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya konsultan dan tender terbuka yang mengambil masa lama.

Menurut beliau, terdapat projek telah diluluskan sebelum kerajaan Madani masih belum dapat dilaksanakan kerana prosedur digunakan tidak telus, justeru KKDW terpaksa mendapatkan kaedah pelaksanaan melalui Kementerian Kewangan berdasarkan tatakelola yang betul.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan pembangunan bagi Exco-exco Luar Bandar dinaikkan kepada RM750,000 tahun ini berbanding RM500,000 tahun lepas bertujuan memastikan penduduk luar bandar sentiasa mendapat manfaat daripada program yang dirancang kerajaan.

"Exco kita berikan peruntukan tambahan ini untuk melaksanakan projek mengikut kumpulan sasaran di negeri masing-masing iaitu projek infrastruktur dan amenity RM750,000 seorang exco, jadi saya harap mereka tidak hantar wakil sahaja pada mesyuarat akan datang, keseriusan itu perlu ada," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat hari ini turut menjemput pihak Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara bagi menyelaras usaha pendidikan TVET dan disebar luas kepada anak-anak di kawasan luar bandar.

"Sambutan TVET sangat luar biasa. Kebolehpasaran graduan TVET tahap nasional adalah 94.5 peratus, manakala bagi graduan institusi KKDW sendiri adalah 98.7 peratus.

"Ertinya kursus kita (KKDW) lakukan itu sesuai untuk permintaan pasaran," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, empat kertas telah dibentangkan iaitu Kertas Hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), Kertas Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Kertas Program Sejati Madani, serta Kertas Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

Sementara itu, KKDW dalam kenyataan memaklumkan, kementerian berkenaan telah menerima peruntukan keseluruhan RM1.41 bilion bagi Sabah, dengan RM1.06 bilion untuk projek infrastruktur, peningkatan RM290.1 juta atau 20 peratus berbanding tahun lepas.

"Ini merupakan peruntukan tertinggi berbanding negeri lain.

"Peruntukan ini melibatkan 295 program atau projek terdiri daripada 70 program atau projek baharu dan 225 program atau projek sambungan dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berjumlah RM17.8 bilion," katanya.

- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!