Pendeposit SSPN masih nikmati pelepasan cukai tahun ini

Norliza Abdul Rahim
Norliza Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Manfaat Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) menerusi pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun dilanjutkan pada tahun ini kepada golongan ibu bapa.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, ibu bapa sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapatkan pelepasan taksiran cukai dengan jumlah sama untuk satu pasangan.

“Pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun merupakan insentif yang istimewa kepada pendeposit kerana manfaat tersebut menjadikan Simpan SSPN satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.

Kenyataan media PTPTN pada Jumaat
Kenyataan media PTPTN pada Jumaat

“Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat Malaysia untuk membuat simpanan dalam Simpan SSPN agar berpeluang menikmati insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun taksiran 2024.

“Masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang membuat simpanan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, ujar Norliza, sehingga 31 Mac tahun ini, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM17.75 bilion dengan 6.32 juta akaun direkodkan.

“Ini menunjukkan Simpan SSPN menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat,” ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, PTPTN turut mengadakan Cabutan Siri WOW! Kasih 2024 yang menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk 181 pemenang.

“Hadiah utama berjumlah RM10,000 untuk 1 pemenang dan hadiah saguhati berjumlah RM500 untuk 180 pemenang.

“Kempen ini terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus bermula pada 1 Mei 2024 hingga 30 Jun 2024

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!