Set buku Sunan tampil 24 ilustrasi khas tarik lebih ramai pembaca

Set buku Sunan terbitan Buku Prima. (Gambar kecil: Ramlee Awang Murshid)
Set buku Sunan terbitan Buku Prima. (Gambar kecil: Ramlee Awang Murshid)
A
A
A

SHAH ALAM - Edisi terhad set buku Sunan terbitan Buku Prima yang kini hampir mencecah usia dua dekad tampil dengan kulit muka baharu bersama 24 rekaan ilustrasi khas bagi menarik lebih ramai pembaca.

Penulisnya, Ramlee Awang Murshid berkata, perubahan tersebut bertujuan mengikuti kehendak pembaca masa kini sekali gus dapat bersaing dengan karya bacaan elektronik.

“Set buku ini didatangkan bersama kotak dengan tiga judul buku iaitu Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta yang diterbitkan awal tahun 2005 dan kini mendapat nafas baharu.

“Versi ini diterbitkan bersama ilustrasi supaya pembaca lebih faham mengenai gambaran watak Sunan kerana sebelum ini mereka memahami karakter ini menerusi persepsi yang berbeza-beza.

“Jika sebelum ini novel bergambar selalunya dipadankan untuk kanak-kanak, tetapi dengan set buku ini pembaca turut dipandu dengan teks dan visual lebih menarik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Ramlee Awang, beliau tidak menolak jika pihak penerbitan ingin memberi nafas baharu terhadap karya penulisannya.

Tegas beliau, mana-mana karya yang ingin disambung atau diperbaharui perlu mengikut keadaan pasaran dan kehendak pembaca.

“Jika selepas ini penerbit mahu menerbitkan lagi karya penulisan saya, sudah tentu ia berita baik, tetapi bergantung kepada kehendak pasaran,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ramlee Awang berkata, karya tersebut sangat terhad dan dijual sekitar 1,000 set sahaja.

Menurutnya, walaupun industri buku semakin berubah, namun penulis dan penerbit perlu lebih kreatif dalam menghasilkan karya terbaik untuk pembaca.

Tambah beliau, mereka yang ingin mendapatkan set buku Sunan edisi terhad boleh membuat pra tempah dan penghantaran akan dibuat bermula penghujung bulan Mei ini.

“Kita cuba jual dulu dalam 1,000 set untuk lihat sambutan daripada pembaca lama dan baharu kerana ini merupakan permulaan ke arah perubahan dalam industri buku.

“Mereka yang ingin mendapatkan buku ini boleh membuat pra tempah dengan harga RM150 bagi satu set buku termasuk beberapa cenderahati yang akan diberikan kepada pembeli,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!