MCA gesa kerajaan pertimbang permintaan ganti SST kepada GST semula

Lawrence
Lawrence
A
A
A

SHAH ALAM - MCA menggesa kerajaan supaya pertimbang pandangan pelbagai pihak yang menginginkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) digantikan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semula.

Naib Presidennya, Datuk Ir Lawrence Low berkata, ia berikutan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICC), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan serta Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) sudah membuat kajian terperinci sebelum menyokong gesaan itu.

Menurut beliau, pertukaran SST dan lain-lain cukai antara lapan hingga 10 peratus kepada GST perlu dibuat demi menjamin kelestarian pengurusan ekonomi negara.

“Jika dilihat, kemahuan kumpulan peniaga ini mudah sahaja. Mereka nak sistem percukaian yang lebih menjimatkan kos agar barangan dan perkhidmatan boleh dijual dengan harga berpatutan kepada ramai pengguna.

“Di samping itu, ia hendaklah telus dan tidak melibatkan banyak kerenah birokrasi, ini semua ciri-ciri GST.

“Misalnya, GST mengurangkan kos perniagaan apabila peniaga boleh mendapatkan semula cukai input ke atas bahan mentah di setiap peringkat perniagaan menjadikan harga lebih berpatutan apabila menghapuskan cukai bertindih di bawah SST,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Lawrence pernah mencadangkan pelaksanaan semula GST namun dengan kadar yang lebih rendah iaitu sebanyak empat peratus kerana sistem berkenaan disifatkan lebih telus dan berkesan dalam mengurangkan ketirisan.

Lawrence yang juga Pengerusi Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA memaklumkan, gesaan sejak sekian lama tersebut perlu dilaksanakan serta dikembalikan untuk kebaikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Semakin banyak dewan perniagaan sokong GST dilaksana semula, tiba masa kerajaan dengar pandangan ramai.

“Pakatan Harapan (PH) terutamanya mereka yang menyanyikan lagu ‘ABCDGST’ dengan jahilnya suatu ketika dahulu perlu segera ketepikan ego.

“Mereka perlu memperbetulkan kesilapan diri, memperbaiki kelemahan dan kepincangan ekonomi negara sekarang melalui pelaksanaan semula GST,” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!