PELAKON yang sedang meningkat naik, Elvina Mohamad, 23, sah bergelar isteri kepada usahawan, Datuk Mohd Haniff Borhan, 32.

Elvina atau nama sebenarnya, Norzalina Mohamad dan Mohd Haniff dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Asy Syakirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Mohd Radhi Abdul Ghani, kira-kira jam 3.25 petang.

Menurut laporan sebuah portal, Elvina menerima senaskah al-Quran menggantikan wang hantaran dan mas kahwin sebanyak RM700.

Sementara itu, pelakon drama Shhh... I Love You dan selebriti permotoran itu malangsungkan upacara pertunangan terlebih dahulu sebelum majlis pernikahan.

Pada majlis itu, pasangan pengantin memakai busana putih rekaan Inderaloka dan solekan oleh Sakinah.

Majlis resepsi pasangan yang bertemakan Fairytale akan diadakan pada 24 Mac ini di lokasi sama.

Sebelum itu, majlis berinai berlangsung pada malam 16 Mac lalu di A Park, Puchong, Selangor dengan bertemakan Bollywood.

Pasangan ini berkenalan dua tahun lalu dan kemudiannya mula rapat sejak setahun lalu. Mereka membuat keputusan membawa hubungan ke jenjang pelamin, kira-kira tiga bulan lalu.