Pengarah drama 'Manjalara' Haris Kadir meninggal dunia

INDUSTRI seni tanah air kehilangan seorang lagi permata apabila pengarah drama veteran, Haris Kadir, 60, meninggal dunia awal pagi Isnin.
Setiausaha Agung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Faizal Ariff mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 pagi di Hospital Ampang akibat kanser paru-paru.
"Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke hospital sejak sekian lama bagi menjalani rawatan. Pihak FDAM sendiri ada melawat beliau pada 21 Jan lepas untuk memantau keadaannya," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki menyifatkan pemergian Haris sebagai satu kehilangan besar memandangkan Allahyarham antara 'otai' yang menjadi pembuka jalan kepada generasi pengarah masa kini.
"Beliau membantu menaikkan profil pengarah-pengarah drama TV dan sumbangan beliau sangat besar kerana membuka jalan serta memberi peluang kepada generasi kedua dan ketiga dalam industri ini," katanya.
Haris meninggalkan warisan seni yang luas menerusi pelbagai drama rantaian mega dan telefilem seperti Manjalara, Misi Anak Bulan, Cinta Ibadah, Bukan Kerana Aku Tak Cinta serta siri telefilem Bila Hati Telah Hitam. - Bernama
Ringkasan AI
- INDUSTRI seni tanah air kehilangan pengarah drama veteran, Haris Kadir, 60, meninggal dunia
- Meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Hospital Ampang
- Allahyarham telah lama dimasukkan ke hospital untuk rawatan
- Pemergian Haris disifatkan sebagai kehilangan besar untuk industri oleh FDAM
- Meninggalkan warisan seni menerusi pelbagai drama rantaian mega dan telefilem
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
