Tom Cruise tinggalkan kediaman mewah di London kerana bimbang keselamatan

BINTANG Hollywood, Tom Cruise dilaporkan telah berpindah keluar dari kediaman mewahnya di London susulan kebimbangan mengenai keselamatan yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi.
The Daily Express melaporkan pada Isnin bahawa pelakon berusia 63 tahun itu memutuskan untuk meninggalkan kawasan Knightsbridge berikutan kejadian rompakan ganas pada waktu siang di Bucherer Rolex Boutique yang terletak berhampiran.
Dalam kejadian itu, sekumpulan geng motosikal dilaporkan tiba dan menggunakan parang untuk menghalang kakitangan keselamatan, selain memecahkan kaca kalis pecah menggunakan tukul dan peralatan khas.
Kira-kira 20 jam tangan mewah dicuri dalam serbuan yang hanya mengambil masa tiga minit sebelum suspek melarikan diri.
Sumber yang dipetik oleh Daily Express berkata, insiden itu mengukuhkan kepercayaan Cruise bahawa keselamatan di kawasan tersebut telah merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Laporan itu menambah bahawa kakitangan dilihat mengeluarkan kotak dari kediaman tersebut sejurus selepas pemergian mendadak pelakon itu.
Knightsbridge dan kawasan berdekatan, Belgravia, sering berhadapan dengan masalah jenayah berkaitan motosikal (moped).
Data Polis Metropolitan menunjukkan sebanyak 295 jenayah direkodkan di Knightsbridge dan Belgravia pada November 2025. - Bernama- Anadolu
Ringkasan AI
- Tom Cruise berpindah keluar dari kediaman mewahnya di London kerana kebimbangan keselamatan
- Berlaku rompakan siang hari di Bucherer Rolex Boutique berhampiran kediamannya
- Rompakan dilakukan oleh geng motosikal yang menggunakan parang dan alat pemecah kaca
- Sekitar 20 jam tangan mewah dicuri dalam waktu tiga minit
- Kejadian meningkatkan kepercayaan Cruise akan penurunan keselamatan di kawasan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
