Shamsul Ghau Ghau sudah boleh berjalan, usaha ingat beberapa perkara

ALHAMDULILLAH, pelakon dan pengacara Shamsul Ghau Ghau kini sudah mampu berjalan!
Memetik laporan Berita Harian, aktres Amyza Aznan yang menziarahi Shamsul di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang pada Selasa berkata, rakannya itu semakin pulih.
"Alhamdulillah, saya lihat dia sudah boleh berjalan ke sana sini, cuma masih berusaha mengingati beberapa perkara memandangkan baru menjalani pembedahan.
"Saya yakin dia akan kembali sihat dan bekerja semula kerana dia seorang yang kuat semangat.
"Walaupun ini hari kedua selepas pembedahan, dia sudah kelihatan aktif seperti orang sihat, walaupun sebenarnya perlu banyak berehat," katanya.
Terdahulu, isteri Shamsul, Syarifah Azrinah Syed Ibrahim, berkata suaminya mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan.
Mampu menggerakkan anggota badan secara berperingkat, hampir semua wayar dan peralatan perubatan yang dipasang pada tubuh Shamsul sebelum ini telah ditanggalkan.
Malah keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak kiri yang dibuat Ahad lalu menunjukkan keputusan yang baik
Terdahulu, SinarPlus berkongsi Shamsul baharu menjalani pembedahan membuang darah beku pada otak kiri susulan pendarahan.
Shamsul yang memiliki tauliah pengajar dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memulakan kerjaya pengacaraan pada tahun 1994.
Dia juga pernah membintangi sitkom Senario, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Dunia Baru. Antara filem lakonannya ialah Senario The Movie, Soal Hati, Senario The Movie: Episode 1 dan Lang Buana. - SinarPlus
Ringkasan AI
- Shamsul Ghau Ghau sudah mampu berjalan selepas menjalani pembedahan
- Menunjukkan pemulihan yang baik walaupun masih berusaha mengingati beberapa perkara
- Aktif bergerak pada hari kedua selepas pembedahan meskipun disarankan untuk banyak berehat
- Hampir semua peralatan perubatan yang dipasang telah ditanggalkan dan melakukan fisioterapi
- Hasil ujian MRI otak kiri menunjukkan keputusan yang baik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
