The Voice of Hind Rajab: Penonton Malaysia ketiga tertinggi di dunia - Nie Ching

FILEM The Voice of Hind Rajab mencatatkan lebih 60,000 tontonan di Malaysia, iaitu ketiga tertinggi di dunia, mencerminkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap isu kemanusiaan di Palestin.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sambutan itu sekali gus menunjukkan sokongan padu terhadap karya yang memperjuangkan dan mengangkat suara golongan terpinggir, khususnya kanak-kanak di negara itu yang terkesan akibat konflik ketenteraan.
"Filem ini terus mencatatkan pencapaian membanggakan pada peringkat global apabila Malaysia muncul sebagai negara ketiga dengan jumlah tontonan tertinggi di dunia, di belakang Perancis dan Itali.
"Solidariti kemanusiaan tidak mengenal sempadan bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, filem itu memberi gambaran di sebalik angka serta laporan berita, terdapat nyawa keluarga dan masa depan kanak-kanak yang perlu dipertahankan.
Beliau turut menganjurkan tayangan khas filem itu yang disertai 120 penduduk Kulai di GSC Cinema, IOI Mall Kulai hari ini.
Penganjuran program seperti itu, menurut beliau bukan sekadar program tontonan, malah menjadi platform pendidikan dan kesedaran awam dalam menyemai empati, kesedaran sejagat serta nilai kemanusiaan merentas latar belakang masyarakat.
Sehubungan itu, Nie Ching berkata, inisiatif seumpama itu akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh nilai empati, kemanusiaan dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat. - Bernama
Ringkasan AI
- Filem The Voice of Hind Rajab mencatat lebih 60,000 tontonan di Malaysia, ketiga tertinggi di dunia
- Sambutan filem menunjukkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap golongan terpinggir di Palestin
- Malaysia adalah negara ketiga dengan jumlah tontonan tertinggi filem ini, selepas Perancis dan Itali
- Nie Ching mengadakan tayangan khas filem tersebut yang disertai 120 penduduk Kulai
- Inisiatif tayangan digunakan sebagai platform pendidikan dan kesedaran awam tentang empati dan nilai kemanusiaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
