Lelaki maut dengan 29 kesan tikaman di leher, dipercayai dibunuh

PORT DICKSON - Seorang lelaki ditemukan dengan kesan 29 tikaman pada bahagian leher dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah bilik rumah kedai berdekatan Jalan Besar Bukit Pelandok di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Maslan Udin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 9.45 malam pada Isnin.
"Mangsa yang merupakan warga Myanmar berusia 26 tahun yang lengkap berpakaian telah dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan kesan tikaman pada bahagian leher.
"Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa bersama suspek yang juga rakan senegaranya sedang minum minuman keras di dalam bilik," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, suspek berusia 21 tahun dikatakan telah melakukan perbuatan tersebut kerana dalam pengaruh alkohol, namun motif kejadian masih dalam siasatan.
Jelasnya, kedua-dua mereka bekerja sebagai tukang panggang khinzir dan merupakan kenalan di tempat kerja.
"Hasil proses bedah siasat selama lebih lima jam terhadap mangsa yang dijalankan pada Selasa mendapati, punca kematiannya disebabkan luka tikaman berganda di leher sebanyak 29 tikaman.
"Suspek kini telah direman selama tujuh hari selepas ditahan di kawasan Bukit Pelandok di sini Isnin lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditemukan dengan kesan 29 tikaman pada leher di Port Dickson
- Mangsa berusia 26 tahun, warga Myanmar, ditemukan dalam keadaan tertiarap
- Kejadian berlaku semasa mangsa dan suspek minum minuman keras
- Suspek, juga warga Myanmar berumur 21 tahun, ditahan dan reman tujuh hari
- Kedua-dua mangsa dan suspek bekerja sebagai tukang panggang khinzir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

