ROMPIN - Sukan memancing, termasuk Program Memancing Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC), yang diadakan di sini menjana pendapatan lebih RM3 juta kepada penduduk sekali gus merancakkan lagi ekonomi setempat setiap tahun.
   
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Pahang, Idros Yahya berkata penganjuran RPBIC, yang memasuki tahun ke-10, membantu penduduk terutama golongan nelayan apabila semakin ramai menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti memancing.
   
"Setiap tahun, jumlah penyertaan peserta terutama dari luar negara mencatat peningkatan dan pada tahun ini, sebanyak 120 orang menyertainya berbanding hanya 100 pada tahun lepas.
   
"Hampir 60 peratus peserta merupakan penyertaan luar negara iaitu Indonesia, Australia, Singapura, New Zealand, China dan Filipina," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan bot peserta di Jeti Pelancongan Kampung Pantai Bernas di sini hari ini.
   
Perasmian program memancing selama dua hari itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Maznah Mazlan.

Idros berkata, perairan Rompin dikenali sebagai antara lokasi terbaik untuk melakukan aktiviti sukan memancing laut dalam selain Labuan dan Langkawi.
   
Beliau juga berkata setiap bulan hampir 1,000 kaki pancing dari dalam dan dan luar negara direkod menggunakan perkhidmatan bot nelayan di kawasan itu sama ada milik persendirian atau koperasi dan persatuan nelayan. - Bernama