Berkesankah Ramadan Ku: Tadabbur Surah Yasin sentuh hati pengunjung bookfest

SHAH ALAM – Ruang Studio F Karangkraf dipenuhi penonton sejak awal program tadabbur Surah Yasin bertajuk 'Berkesankah Ramadan Ku' yang diadakan sempena Karangkraf Ramadan Bookfest di sini pada Isnin.
Sesi tadabbur itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail yang mengajak para hadirin menilai sejauh mana Ramadan benar-benar memberi kesan dalam kehidupan seharian.
Menurut Fazrul, peringatan daripada al-Quran hanya berkesan kepada hati yang terbuka, sebagaimana disebut dalam Surah Yasin ayat 54, iaitu peringatan hanya diterima oleh mereka yang mahu menerima peringatan dan takut kepada ALLAH Yang Maha Pemurah.
Beliau menjelaskan bahawa persoalan utama bukan sekadar Ramadan telah berlalu, sebaliknya sama ada Ramadan itu meninggalkan kesan yang berpanjangan terhadap sikap, akhlak dan hubungan seseorang dengan ALLAH.
“Ramadan ialah bulan diturunkan al-Quran dan al-Quran itu sendiri merupakan zikir atau peringatan kepada manusia.
“Namun, peringatan ini hanya berkesan kepada golongan tertentu,” ujarnya.
Fazrul menghuraikan bahawa terdapat dua golongan utama yang benar-benar mendapat kesan daripada al-Quran dan Ramadan.
Golongan pertama ialah mereka yang bersedia menerima peringatan, iaitu individu yang sentiasa berfikir, mengambil iktibar serta mencari peringatan dalam kehidupan.

Menurut beliau, peringatan terbaik datang daripada al-Quran, namun nasihat dan teguran juga termasuk dalam konsep zikir selagi ia membawa manusia kembali kepada ALLAH.
Sebaliknya, katanya, mereka yang enggan diperingatkan sering bersikap sombong, merasakan diri sudah mengetahui segalanya dan menganggap peringatan sebagai sesuatu yang menyusahkan.
“Sikap sedemikian menjadi punca seseorang tidak memperoleh kesan daripada Ramadan mahupun al-Quran,” ujarnya.
Golongan kedua pula ialah mereka yang takut kepada ALLAH walaupun tidak dilihat manusia.
Fazrul menjelaskan bahawa rasa takut kepada ALLAH Yang Maha Pengasih (Al-Rahman) melahirkan keikhlasan dalam ibadah, termasuk beramal secara tersembunyi tanpa mengharapkan pujian.
Beliau memberi contoh individu yang tetap menjaga ibadah walaupun bersendirian, tidak melanggar puasa meskipun tiada siapa melihat serta bangun beribadah pada waktu malam tanpa dipaksa atau ditegur.
Mengulas lanjut, Fazrul menegaskan bahawa kesan Ramadan dan al-Quran tidak bergantung kepada ritual semata-mata, sebaliknya terletak pada kesediaan menerima peringatan serta rasa takut kepada ALLAH dalam apa jua keadaan.
“Golongan inilah yang akan terus merasai kesan Ramadan yang lalu dan Ramadan yang bakal datang kerana hati mereka sentiasa hidup dengan peringatan,” tambahnya.
Selain itu, Fazrul turut menekankan konsep berdamai dengan takdir dan beriman kepada ALLAH Al-Hakim sebagai prinsip penting dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, beradab dengan takdir bermakna seseorang tidak marah atau memberontak terhadap apa yang telah ditetapkan ALLAH.
Sementara itu, beriman kepada ALLAH Al-Hakim menuntut seseorang sentiasa mencari hikmah dalam setiap perkara, memohon hikmah daripada ALLAH SWT serta menghormati kebijaksanaan-Nya dalam semua ketentuan.
Fazrul berkata, akhlak seseorang terhadap makhluk juga akan terpengaruh apabila beriman kepada Al-Hakim.
Antara nilai penting yang perlu diamalkan ialah bersikap sabar dan berhikmah dalam berinteraksi, mendengar dengan teliti sebelum membuat kesimpulan serta tidak terburu-buru menilai orang lain.
Beliau memberi analogi bahawa seorang hakim yang bijaksana tidak terus menuduh saksi atau pihak tertentu bersalah, sebaliknya mendengar semua bukti sebelum membuat keputusan.
Begitu juga akhlak seorang Muslim yang beriman kepada Al-Hakim, iaitu bersabar, mendengar dan menilai dengan penuh hikmah.
Dalam konteks al-Quran, konsep ini selaras dengan ayat yang mengingatkan manusia agar takut kepada ALLAH dan tidak menyalahgunakan kedudukan atau kuasa.
Dengan membina sikap ini, seseorang bukan sahaja menghormati syariat ALLAH, malah berinteraksi dengan makhluk lain secara baik dan bijaksana.
“Memahami hikmah ALLAH dalam setiap ketentuan akan membentuk insan yang matang, beradab dan bijaksana dalam semua aspek kehidupan,” jelas Fazrul.
Ringkasan AI
- Ruang Studio F Karangkraf dipenuhi penonton untuk program tadabbur Surah Yasin
- Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, mengajak hadirin menilai kesan Ramadan dalam kehidupan
- Fazrul menyatakan peringatan daripada al-Quran hanya berkesan kepada hati yang terbuka
- Terdapat dua golongan utama yang mendapat kesan daripada al-Quran dan Ramadan; mereka yang menerima peringatan dan mereka yang takut kepada ALLAH
- Fazrul menekankan pentingnya menghormati syariat ALLAH dan berinteraksi dengan makhluk lain secara baik dan bijaksana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

