'Kakak nak jadi doktor, nak jaga abah' - Luahan anak kecil buat bapa lumpuh

KOTA TINGGI - “Abah, nanti kakak dah besar, kakak dah jadi doktor, kakak nak jaga abah.”
Itu luahan penuh kasih seorang kanak-kanak perempuan, Wan Omera, 6, kepada bapanya yang menghidap kecederaan otak akibat kemalangan jalan raya menerusi perkongsian video di TikTok @Anneeaen.
Ibunya, Ann Nuur Ain Mohamed Don, 32, berkata, suaminya, Wan Ahmad Aminuddin Wan Ismail, 33, sebelum ini berada dalam keadaan sihat sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 29 Jun 2024 ketika pulang dari tempat kerja menaiki motosikal.
"Kemalangan berlaku selepas motosikal ditunggang suami berlanggar dengan sebuah kereta yang menukar lorong tanpa isyarat di sebuah jalan di Kota Tinggi.
“Akibat kemalangan itu, suami saya mengalami trauma kecederaan otak iaitu kecederaan serius pada bahagian otak dan terpaksa menjalani pembedahan membuka tempurung kepala,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Terdahulu, video dikongsikan Ann Nuur Ain yang memaparkan wanita itu menolak kerusi roda suaminya sambil meluangkan masa beriadah bersama anak-anak yang menerima 2 juta tontonan dengan 258,100 tanda suka.
Wan Omera dilihat membelai rambut bapanya yang duduk di kerusi roda sebelum meluahkan keinginan untuk menjadi seorang doktor demi menjaga bapanya.
Kongsi ibu kepada tiga cahaya mata berusia 1 tahun 4 bulan, 4 tahun dan 6 tahun itu lagi, keadaan itu menyebabkan suaminya kini terlantar sepenuhnya sejak setahun empat bulan lalu dan disahkan doktor lumpuh seumur hidup tanpa rawatan khusus.
Menurutnya, selepas kemalangan, suaminya koma selama enam bulan dan mengambil masa kira-kira tujuh bulan untuk sedar sepenuhnya, namun masih tidak mampu bercakap atau makan sendiri.
“Dia hanya menggunakan tiub susu dan masih memerlukan bantuan pernafasan melalui trakeostomi di bahagian leher,” ujar Ann Nuur Ain lagi.

Mengulas hasrat anaknya untuk menjadi doktor, wanita itu mengakui perasaan bangga kerana anaknya tidak pernah malu dengan keadaan bapanya, sebaliknya sentiasa berusaha memberi harapan agar ayahnya kembali sembuh.
“Saya rasa bangga sebab cita-cita dia ke arah kebahagiaan keluarga dan yang utama adalah ibu ayah,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang menjaga suami, anak-anak turut dilibatkan secara langsung dalam penjagaan termasuk memberi susu, mengurut serta membantu pergerakan solat.
“Setiap kali anak-anak bercakap dan menunjukkan kasih sayang, suami saya akan senyum.
"Sekarang sudah ada respons dan reaksi walaupun hanya senyuman dan air mata,” katanya.
Ann Nuur Ain mengakui cabaran terbesar adalah menguruskan tiga anak yang masih kecil dalam masa sama menjaga suami, apatah lagi beliau ketika itu masih dalam tempoh berpantang dua minggu selepas bersalin secara pembedahan caesar.
Bagaimanapun wanita itu memberitahu, sokongan keluarga banyak membantu dirinya mengharungi ujian walaupun keadaan kesihatan diri kadangkala tidak mengizinkan.
Beliau turut menekankan kepentingan mendidik anak-anak agar tidak malu dengan keadaan keluarga serta memahami bahawa kekurangan perlu diisi dengan kasih sayang dan tanggungjawab.
“Jangan bandingkan kekurangan keluarga kita dengan kelebihan orang lain. Jadikan kekurangan itu sebagai kelebihan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ann Nuur Ain mengakui sentiasa berharap suaminya tidak berputus asa dan diberikan keajaiban kesembuhan oleh ALLAH SWT walaupun tidak kembali seperti sediakala.
“Cukuplah kalau dia dapat tengok anak-anak membesar, bercakap dan bergurau dengan mereka,” katanya.
Ann Nuur Ain turut berharap anak-anaknya berjaya di dunia dan akhirat dengan pegangan agama yang kukuh serta menjadi insan bermanfaat kepada keluarga dan masyarakat.
Ringkasan AI
- Wan Omera, anak perempuan berumur enam tahun berhasrat menjadi doktor untuk merawat bapanya yang mengalami kecederaan otak akibat kemalangan jalan raya
- Bapa Wan Omera, Wan Ahmad Aminuddin, mengalami trauma kecederaan otak serius dan lumpuh seumur hidup tanpa rawatan khusus selepas motosikalnya berlanggar dengan kereta
- Wan Ahmad koma selama enam bulan dan memerlukan masa tujuh bulan untuk sedar walaupun masih tidak mampu bercakap atau makan sendiri
- Video Wan Omera yang berinteraksi dengan bapanya di kerusi roda menyentuh hati ramai, menerima dua juta tontonan dan 258,100 tanda suka
- Ann Nuur Ain, ibu Wan Omera, mengakui cabaran menjaga suami terlantar dan tiga anak kecil tetapi mendapat sokongan keluarga dan mengajarkan anak-anak menghargai keluarga walaupun dalam kekurangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

