Ops Tiris 3.0 bantu KPDN kekang ketirisan subsidi

RANTAU PANJANG – Operasi bersepadu Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mengekang penyelewengan barangan kawalan bersubsidi apabila trend kes, nilai rampasan dan aduan awam menunjukkan penurunan berterusan sejak dua tahun lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, keberkesanan operasi itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam melindungi subsidi kerajaan daripada disalah guna pihak tidak bertanggungjawab, khususnya melibatkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan di kawasan berisiko tinggi.
Menurut beliau, sepanjang 2024, Ops Tiris 3.0 merekodkan 43,444 pemeriksaan di seluruh negara dengan 2,738 kes berjaya dihasilkan, selain 621 tangkapan dan rampasan bernilai RM91.59 juta.
"Pada 2025, walaupun jumlah pemeriksaan meningkat kepada 47,206, jumlah kes menurun 14.2 peratus kepada 2,348 kes, manakala nilai rampasan turut susut 10.8 peratus kepada RM81.69 juta.
"Momentum penguatkuasaan diteruskan pada awal 2026 apabila 3,237 pemeriksaan dijalankan setakat Januari yang membawa kepada 183 kes, 39 tangkapan serta rampasan berjumlah RM5.73 juta," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi di sini pada Ahad.
Azman memberitahu, analisis mengikut komoditi mendapati petrol, diesel dan minyak masak kekal sebagai barangan kawalan utama yang sering diseleweng, namun jumlah kes bagi ketiga-tiga komoditi itu menunjukkan penurunan yang konsisten.
Ujar beliau, kes berkaitan petrol menurun daripada 969 kes pada 2024 kepada 797 kes pada 2025, manakala 49 kes direkodkan setakat Januari 2026.
Menurutnya, kes diesel pula berkurang daripada 744 kes kepada 503 kes, sementara kes minyak masak menurun daripada 479 kes kepada 404 kes bagi tempoh sama.
"Selain pendakwaan dan kompaun, tindakan tegas turut diambil termasuk penarikan serta penggantungan lesen borong dan runcit, selain penggantungan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) terhadap syarikat pembungkus yang melanggar peraturan.
"Penguatkuasaan turut diperkukuh melalui audit forensik rantaian bekalan, penggunaan sistem eCOSS yang dinaik taraf bagi pemantauan masa nyata serta kawalan pengedaran minyak masak paket menerusi mekanisme zon dan had pembelian," katanya.
Azman memberitahu, keberkesanan Ops Tiris turut diterjemahkan melalui penurunan aduan awam berkaitan barangan kawalan bersubsidi daripada 1,460 aduan pada 2024 kepada 1,399 aduan pada 2025, sebelum menurun ketara kepada 115 aduan setakat Januari 2026.
Katanya, KPDN akan terus memperkukuh strategi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar dimanfaatkan golongan sasar dan tidak terus diseleweng.
Ringkasan AI
- Operasi Ops Tiris 3.0 berjaya mengekang penyelewengan barangan kawalan bersubsidi dengan trend kes menunjukkan penurunan
- Sepanjang operasi, dilakukan ribuan pemeriksaan yang membawa kepada beribu kes, tangkapan dan rampasan jutaan ringgit
- Penyelewengan petrol, diesel dan minyak masak menjadi fokus utama, dengan jumlah kes bagi ketiga-tiga komoditi menunjukkan penurunan konsisten
- Strategi penguatkuasaan termasuk pendakwaan, penarikan lesen, penggantungan kuota, audit forensik dan penggunaan sistem pemantauan eCOSS
- Adanya penurunan aduan awam berkaitan dengan barangan kawalan bersubsidi, menunjukkan keberkesanan operasi tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

