Kebakaran di Johor merebak: Ladang nanas, kelapa sawit terbakar

KLUANG - Selepas kebakaran tanah gambut di Pengerang dan Muar, Simpang Renggam pula dilaporkan mengalami bencana itu melibatkan empat hektar ladang kelapa sawit dan lima hektar nanas di Ladang Peninsular Plantation Sdn Bhd di sini, sejak Jumaat lepas.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Siti Hajar Sanusi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik ladang pada 8.34 malam sebelum pasukan unit dron digerakkan ke lokasi untuk pemantauan.
Beliau berkata, tindakan susulan dilakukan dengan pemadaman awal pada 9 pagi semalam melibatkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan diteruskan hari ini dengan bantuan 11 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Renggam serta Layang-Layang dan 20 pekerja ladang.

"Pemadaman dilakukan secara semburan terus menggunakan sumber air terbuka selain menggali parit bagi menghalang api merebak ke kawasan lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Siti Hajar berkata, operasi pemadaman bergantung kepada keadaan cuaca dengan pihaknya menjangkakan api dapat dipadamkan antara satu hingga dua hari lagi sekiranya hujan.
Beliau berkata, memasuki hari kedua operasi, kira-kira 25 peratus kawasan terlibat berjaya dikawal dan dipadamkan namun angin kencang mengganggu usaha pemadaman sehingga menyebabkan bara api merebak.
"Parit kecil di ladang kelapa sawit digunakan sebagai sumber air untuk pemadaman manakala di ladang nanas menggunakan lori tangki milik PBS dan pihak pengurusan ladang.
"Buat masa ini api berjaya dikawal, namun kami masih bimbang kerana ladang nanas terletak berhampiran kawasan penempatan penduduk, iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kebakaran,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
