Penggunaan suar di Drawbridge perbuatan bahaya, tidak bertanggungjawab

Gambar tular menunjukkan tindakan menyalakan suar di atas Jambatan Angkat membahayakan dan mengganggu orang awam.
Gambar tular menunjukkan tindakan menyalakan suar di atas Jambatan Angkat membahayakan dan mengganggu orang awam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pihak pengurusan Drawbridge memandang serius insiden tular yang memaparkan perbuatan menyalakan dan menggunakan suar di kawasan berkenaan, yang disifatkan sebagai tindakan berbahaya, tidak selamat dan tidak boleh diterima.

Pengurusan Drawbridge dalam satu kenyataan berkata, perbuatan tersebut tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila dilakukan di lokasi ikonik yang menjadi tumpuan orang awam serta pengguna jalan raya setiap hari.

“Penggunaan suar secara terbuka di kawasan awam boleh mengundang pelbagai risiko keselamatan termasuk kebakaran, letupan kecil dan kecederaan kepada individu serta pejalan kaki selain ancaman terhadap struktur serta kemudahan awam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah kenyataan itu, perbuatan sedemikian bukan sahaja membahayakan pelaku sendiri, malah turut mengancam keselamatan orang lain, mencemarkan imej negeri serta menjejaskan nilai tanggungjawab sivik dalam kalangan masyarakat.

“Drawbridge bukan lokasi untuk sebarang aktiviti berisiko, provokatif atau yang melanggar undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan berbahaya, melanggar undang-undang atau menjejaskan keselamatan awam di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Drawbridge turut menegaskan bahawa tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perbuatan sedemikian.

“Ini merupakan peringatan keras bahawa keselamatan awam adalah tanggungjawab bersama dan sebarang tindakan yang boleh mengundang bahaya, kecederaan atau kerosakan terhadap Drawbridge tidak akan dikompromi,” jelasnya.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial yang memaparkan sekumpulan penyokong Selangor FC berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pihak pengurusan Drawbridge memandang serius insiden tular yang memaparkan perbuatan menyalakan suar di kawasan itu
  • Perbuatan menyalakan suar itu disifatkan sebagai tindakan bahaya dan tidak bertanggungjawab
  • Penggunaan suar di kawasan awam boleh mengundang risiko kebakaran, kecederaan dan ancaman terhadap struktur awam
  • Tindakan seperti itu membahayakan pelaku dan mengancam keselamatan orang lain serta mencemarkan imej negeri
  • Pihak pengurusan menegaskan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap individu yang melanggaraturan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!