JASIN - Seorang pesakit wanita perlu membayar sebanyak RM32, 800 jika mahu mendapatkan rawatan alternatif di sebuah pusat perubatan di Melaka setelah penyakit yang dihidapi dikenal pasti oleh perawatnya.

Antara caj yang dikenakan kepada wanita tersebut ialah kos rawatan masalah urat saraf sebanyak RM10,000; rahim sengat (RM4,300); buah pinggang bengkak (RM10,00); kencing manis (RM5,000); santau patung berjasad (RM2,600) dan mandian sunnah tutup ubat (RM900).

Jumlah bayaran yang perlu dibayar jika pesakit setuju meneruskan rawatan di situ ialah sebanyak RM32,800.

Itu adalah jumlah yang tertera dalam sebuah resit yang dikeluarkan oleh sebuah pusat perubatan alternatif kepada seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat tersebut pada 11 Oktober lalu yang tersebar di media sosial Facebook dan Twitter.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami tak paksa pesakit teruskan rawatan di sini']

[ARTIKEL BERKAITAN: KPDNKK: Pusat rawatan sedia senarai harga rawatan]

Dalam resit tersebut juga didapati pesakit bersetuju menyerahkan seutas rantai tangan emas bernilai RM4,800 sebagai bayaran untuk mendapatkan rawatan separa dan anaknya turut menjadi saksi.

Selain itu, kelihatan juga dua cop jari sebagai bukti. 

Anak dipercayai kepada pesakit tersebut di laman Facebooknya menulis di mana pada 11 Oktober lalu, dia dalam keadaan terdesak membawa ibunya yang menderita sakit kaki untuk mendapatkan rawatan permulaan (scan) dengan bayaran RM300, kemudian seorang individu iaitu perawat tersebut menyenaraikan penyakit ibunya dan mengeluarkan sebut harga dengan jumlah RM32,800. 

Dengan tersebarnya resit tersebut di laman sosial mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.