Bersatu Bahagian tidak terbubar walau semua AJK keluar parti

Gambar kecil: Kamarul Zaman
Gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyelar sebahagian ahli jawatan kuasa (AJK) dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertindak keluar parti kononnya untuk membubarkan Bersatu Bahagian sebagai satu tindakan yang jahil Perlembagaan.

Beliau berkata, keghairahan mereka yang keluar itu dengan mengumumkan kononnya Bersatu Bahagian mereka terbubar apabila mereka dan AJK keluar parti boleh dianggap sebagai kelakar.

Katanya, beliau mengambil contoh kenyataan Shahul Hameed Abdul Wahab yang mengatakan 'seramai 15 daripada 17 AJK keluar parti, bermakna mengikut peruntukan perundangan, parti memerlukan 3/4 untuk keluar baharu bahagian itu terbubar dan sekarang AJK yang keluar lebih dari 3/4 atau 75 peratus bermakna Bersatu Kota Raja terbubar serta-merta dan enam cawangan di bahagian ini terbubar secara automatik'.

Menurutnya, mereka tidak mengetahui bahawa peruntukan 3/4 itu adalah membabitkan pembubaran seluruh parti dan ini termaktub di dalam Fasal 30.1 Perlembagaan Bersatu yang berbunyi 'parti ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga per empat (3/4) daripada jumlah ahli yang layak hadir dalam suatu Persidangan Perhimpunan Agung Khas.

"Sehubungan dengan peletakan jawatan atau tindakan keluar parti di peringkat Bahagian, walaupun kesemua AJK Bahagian meletak jawatan atau keluar parti sekali gus sekalipun, Bersatu Bahagian tersebut tidaklah terbubar, sebaliknya apa yang berlaku adalah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan mengadakan Persidangan Khas Bahagian untuk menubuhkan semula Jawatan kuasa Bahagian itu.

"Ini termaktub di dalam Fasal 19.10. Perlembagaan Bersatu yang berbunyi 'jika kesemua Ahli-Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian berhenti serentak maka MPT akan mengadakan Persidangan Khas Bahagian untuk menubuhkan semula Jawatan kuasa Bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya, malah walau kesemua Ahli MPT meletak jawatan atau keluar parti sekali gus, Bersatu sendiri tidaklah terbubar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebaliknya apa yang berlaku adalah Pengerusi Tetap atau Timbalannya hendaklah mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi menubuhkan semula MPT itu.

"Ini termaktub di dalam Fasal 16.12. Perlembagaan Bersatu yang berbunyi 'Jika kesemua Ahli MPT berhenti serentak maka Pengerusi Tetap atau Timbalannya hendaklah dalam tempoh tidak lebih daripada enam puluh (60) hari mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi menubuhkan semula MPT dan Perhimpunan Agung Khas itu hendaklah menetapkan tempoh perkhidmatan MPT yang baharu tertubuh itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sebahagian ahli dan pemimpin parti Bersatu seluruh negara mula meninggalkan parti itu semalam di mana bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya memberitahu kira-kira 70 peratus ahli parti itu keluar untuk menyokong parti baharu ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah Ketua Bahagian Bersatu Bangi, Mohd Sufian Mat Yunus turut mengumumkan keluar Bersatu semalam dan memberitahu gelombang keluar parti Bersatu tidak akan berakhir dengan mudah sebaliknya akan berlaku berterusan.

Kamarul Zaman berkata, beliau berasa pelik apabila bekas pemimpin Bersatu yang keluar parti seolah-olah tidak mengetahui tentang peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Bersatu.

"Pada hemat saya, tindakan sesetengah pemimpin Bersatu keluar parti, walaupun cuba digambarkan sebagai 'gelombang' oleh sesetengah pihak, tidaklah memberikan kesan besar kepada Bersatu kerana yang berbuat demikian adalah mereka yang sudah dijangka.

"Apa yang baik daripada tindakan ini adalah ia membersihkan Bersatu daripada duri-duri yang ada, sekali gus memberi peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan semula Jawatan kuasa Bahagian dengan mengisikan jawatan ini dengan mereka yang lebih setia," katanya.

Namun yang lebih penting katanya, tindakan itu tidak menjejaskan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Pusat, malah ahli akademik yang dilihat rapat dengan DAP, Dr Wong Chin Huat sendiri menyebut 'the chance of defection at MP level is next to zero' (kemungkinan untuk MP lompat hampir tiada) dan 'no wave for now' (tiada gelombang sekarang).