Saya sudah keluar parti, kenapa nak pecat ?

Surat keluar parti yang dihantar Satees pada 28 Julai lalu. Satees (kiri).
Surat keluar parti yang dihantar Satees pada 28 Julai lalu. Satees (kiri).
A
A
A

BUTTERWORTH - "Saya sudah keluar parti, bagaimana jawatankuasa disiplin boleh pecat orang yang sudah tidak menjadi ahli parti?

Itu reaksi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy apabila mengetahui namanya antara empat yang dipecat kerana menentang calon DAP selepas bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Satees berkata, beliau telah menghantar surat keluar dari parti kepada Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke pada 28 Julai yang lalu.

"Mungkin Setiausaha Agung belum menghantar surat perletakan jawatan saya kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti.

"Sebelum ini saya tidak pernah menerbitkan surat keluar parti ini kerana merasakan kandunganya adalah perkara dalaman parti.

Bagaimanapun, kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Parti telah memaksa saya untuk memuat naik surat ini untuk tatapan awam," tulisnya di akaun Facebook peribadinya pada Jumaat.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan DAP memecat empat ahlinya susulan menentang calon yang diberi kuasa parti dalam pilihan raya untuk memilih wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, empat ahli itu juga merupakan calon DUN bagi kawasan Penang dan Selangor.

Antara calon tersebut adalah penyandang bebas kerusi DUN Bagan Dalam, Satees Muniandy; penyandang Bebas DUN Perai, David Marshel Pakianathan, penyandang bertanding atas tiket Parti Rakyat Malaysia (PRM) DUN Kuala Kubu Bahru, Selangor, Chng Boon Lai dan penyandang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) DUN Pandamaran, Selangor, Gunalan Balakrishnan.