'Ahli UMNO keluar parti, tindakan mendukacitakan' - Dr Muhamad Akmal

Afiq Amani yang juga anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa antara yang diumumkan keluar UMNO dan memilih memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN). Gambar kecil: Dr Muhamad Akmal
Afiq Amani yang juga anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa antara yang diumumkan keluar UMNO dan memilih memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN). Gambar kecil: Dr Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Pemuda UMNO menyifatkan tindakan individu meninggalkan parti itu disaat sedang diuji hebat sebagai satu tindakan yang mendukacitakan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun sayap kepimpinan itu akan terus istiqamah dalam meneruskan dan menggalas tanggungjawab untuk memperkukuhkan UMNO.

Menurut beliau, tindakan keluar parti secara beramai-ramai tidak sesekali akan merencatkan semangat rakan-rakan Pemuda UMNO lain yang masih setia dan bersusah payah demi parti.

"Suka untuk saya ingatkan dan berpesan kepada rakan-rakan Pemuda UMNO, perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik.

"Tetapi pejuangan Pemuda UMNO dalam parti ini untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air," katanya dalam satu kenyataan susulan tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Ahmad Syauqi Mazlan mengumumkan keluar parti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, barisan saf kepimpinan itu akan terus mengangkat perjuangan ini meskipun dalam keadaan yang susah mahupun senang.

"Pemimpin itu datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti namun perjuangan UMNO tetap akan diteruskan.

"Terima kasih di atas segala jasa dan khidmat bakti buat mereka yang telah bersama-sama UMNO selama ini,kita jumpa di medan pertempuran," katanya.