Warga Klebang rayu kerajaan teruskan pembinaan MBMB

Mohd Yusof menunjukkan reka bentuk bangunan baharu MBMB yang sepatutnya didirikan di Klebang sebelum dibatalkan kerajaan negeri pada pertengahan tahun lalu.
Mohd Yusof menunjukkan reka bentuk bangunan baharu MBMB yang sepatutnya didirikan di Klebang sebelum dibatalkan kerajaan negeri pada pertengahan tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Warga Klebang Besar merayu kerajaan negeri supaya meneruskan semula pembinaan projek bangunan baharu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di kawasan terbabit yang dihentikan pada pertengahan tahun lalu.

Bangunan berkenaan yang dirancang mengadap Selat Melaka, setinggi tujuh tingkat di kawasan seluas enam hektar dengan kos RM138 juta itu mampu menjadi mercu tanda terbaharu kepada pembangunan negeri Melaka dan kawasan Dun Klebang khususnya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan berkata, projek berkenaan juga akan melonjakkan lagi nilai hartanah di kawasan terbabit.

Menurutnya, meskipun sekadar bekas pentadbir kampung namun beliau berhak bersuara selaku anak tempatan di Klebang Besar dan soal siapa yang mentadbir tidak timbul.

"Semasa dibatalkan, projek pembinaannya sudah berjalan dan melibatkan kos. Sekiranya kerajaan negeri tetap dengan pendirian mahu teruskan pembatalan, ia akan melibatkan kerugian juga. Kalau belum mula, kerajaan batalkan, tiada masalah," jelasnya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, bangunan tersebut juga dibina di dalam kawasan seluas kira-kira 20 hektar yang pernah diwartakan sebagai kawasan reakreasi untuk orang ramai beriadah bagi mengantikan Dataran Pahlawan yang sebelum ini sudah hilang nilai sejarah akibat dijual kepada pihak swasta.

"Sebaik kerajaan negeri sebelum ini mahu membangunkan bangunan baharu MBMB serta dengan beberapa kemudahan lain termasuk padang dan kemudahan riadah, kami begitu gembira sebab ia untuk kegunaan rakyat dan bukannya untuk tujuan kormersial.

"Tetapi terbaharu, apabila kami dengar kerajaan negeri mengeluarkan tender untuk menjual tanah berkenaan, kami jadi bimbang, sebabnya sekiranya ia jatuh ke tangan pihak swasta, kawasan berkenaan akan menjadi tanah persendirian dan nasibnya sama seperti Dataran Pahlawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, sekiranya faktor kos menjadi punca kerajaan negeri membatalkan projek itu, ianya boleh diubah kepada projek yang lebih menjimatkan.

"Kalau ia melibatkan kos, ianya boleh diubah misalnya dahulu ada empat kubah, cadangkanlah ia menjadi satu kubah. Kalau saiz bangunan terlalu besar, kecilkan sedikit, kalau perancangan asal menggunakan jubin import kita tukar pakai jubin buatan tempatan yang lebih murah.

"Kami tidak kira apa bentuk bangunannya asalkan ia masih terus boleh dimanfaatkan untuk semua rakyat." katanya.

Beliau berkata, rancangan pembinaan bangunan itu turut mengambil kira rekaan dewan perbandaran daripada pelbagai pihak berkuasa tempatan di luar negara, selain mempunyai rekaan landskap yang menarik.

"Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob turut terlibat memberikan idea dari segi reka bentuk ibu pejabat baharu MBMB ini.

"Selain fungsi sebagai bangunan pentadbiran baharu, kita percaya kawasan ini bakal merancakkan lagi pembangunan terancang pesisir pantai di Klebang," katanya.

Justeru, beliau bersama masyarakat kampung Klebang Besar berharap, kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Adly Zahari bersama barisan Exco dapat mempertimbangkan semula perkara ini.

Selain itu, katanya, wakil rakyat dan Ahli Parlimen Tangga Batu juga harus memperjuangkan hal ini sebab ia berkait dengan soal pembangunan kawasan Klebang.