X

Kindly register in order to view this article
!

Lexus ES jadi kereta rasmi MB Perak

Lexus ES yang dibeli kerajaan Perak digunakan Ahmad Faizal sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar Perak.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak membeli sebuah kereta jenis Lexus ES Sedan bagi menggantikan Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar Perak.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menjelaskan pembelian tersebut dibuat memandangkan kenderaan rasmi miliknya diberi kepada salah seorang Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini membeli beberapa unit Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi Exco dan tiga pegawai kanan kerajaan namun satu daripadanya telah dijual kepada bekas Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Rohana Abdul Malek.

"Datuk Rohana nyatakan hasrat untuk membeli salah satu kereta tersebut dan kita setuju jual memandangkan beliau merupakan Penasihat Undang-Undang negeri yang paling lama berkhidmat tapi beliau perlu bayar lebih RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk dapatkan kereta itu namun harga tersebut lebih murah daripada pasaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Beli kereta baharu keputusan tepat: MB

"Bila Penasihat Undang-Undang negeri yang baharu datang dan semua Exco dilantik, saya berikan kereta saya kepada salah seorang Exco untuk digunakan menyebabkan kita kurang satu kereta," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet sempena pembukaan hari pertama sesi persekolahan di sini hari ini.

Beliau berkata, kereta tersebut dibeli dengan harga diskaun di antara RM40,000 hingga RM50,000 berbanding harga asal RM300,000 memandangkan model tersebut dikeluarkan pada tahun 2019.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, pada masa sama, kerajaan negeri turut membuka tender bagi penjualan beberapa kenderaan yang tidak lagi digunakan termasuk Mercedes Benz S Class.

Pada bulan Jun tahun lalu, kerajaan Perak membeli 16 unit kereta Toyota Camry untuk kegunaan Exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan menggantikan kereta Proton Perdana yang dibeli pada 2014.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!